Sabtu, 24 Januari 2009

MANHAJ/PRINSIP GENERASI AWAL (salafus soleh) DALAM MENGAMBIL AQIDAH, IBADAH, DAN AGAMA


DEFINISI MANHAJ

Manhaj (المنهج), nahaj (النهج) atau minhaaj (المنهاج) dari madah: نَهجا– يَنهج – نَهج yang semuanya mempunyai satu makna. Dari segi bahasa manhaj ialah (Lihat: Lisanul Arab 2/383. Abi Fadzil Jamaluddin Muhammad al-Afriki al-Misri. Lihat: Kamus al-Muhit. 1/209. Fairus Abadi):

اَلطَّرِيْقُ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ ، وَيُطْلَقُ عَلَى الطَّرِيْقِ الْمُسْتَقِيْمِ اَوِالسُّنَّةِ

“Jalan yang jelas, terang dan dikatakan juga (mengikut) jalan yang lurus (Lihat: منهج الاستدلال على مسائل الاعتقاد عند اهل السنة والجماعة 1/19. Uthman bin Ali Hasan) atau mengikut sunnah”.

Kalimah manhaj/minhaj bermakna jalan yang terang atau mengikut sunnah. Ia disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا

“Untuk tiap-tiap umat (antara kamu), Kami berikan aturan dan jalan yang terang (atau sunnah)”. (al-Maidah, 5: 48)

Berkata Abu Ja’far, bahawa manhaj ialah: “Jalan yang terang atau jelas” (البيان الواضح). (Lihat: at-Thabari, 4/609) Dan apabila dikatakan (طريق نَهج) bererti “Jalan Yang Terang” atau (بين) “Jelas”.

Menurut Ibn Kathir rahimahullah manhaj ialah:

فَهُوَ الطَّرِيْقُ الْوَاضِحُ السَّهْلُ

“Maka manhaj ialah jalan yang terang dan mudah”. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 2/26. Dan Fathul Qadir, 2/48, as-Syaukani)

Manhaj juga dapat difahami menurut sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Abbas radiallahu ‘anhu yang diriwayatkan dari Mujahid, Ekrimah, Hasan al-Basri dan selain mereka:

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : سَبِيْلاً اَوْ سُنَّةً

“Berkata Ibnu Abbas Radiallahu ‘anhu bahawa manhaj ialah: Jalan atau sunnah”. (Lihat: Sahih Bukhari. 1/46 Fathul Bari (Kitab al-Iman). Diriwayatkan oleh al-Lalakaii, hlm. 66. at-Thabari 6/271. Lihat Ibn Kathir. 3/120. Lihat: Manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah, 1/50. Khalid bin Abdullatif)

سُنَّةُ النَّبِي ، اَوْ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ

“Manhaj ialah: Sunnah Nabi, Atau yang terang dan yang jelas”. (Lihat: at-Thabari, 6/609)

Manhaj atau minhaj dimaksudkan juga sebagai mazhab (aliran atau jalan). Walaupun mazhab sering digunakan untuk aliran fikah tetapi ia sering juga digunakan atau dimaksudkan dengan maksud yang sama dengan manhaj. Seperti disebut: “Manhaj as-Salaf as-Soleh atau Mazhab as-Salaf as-Soleh”.

APA ITU SALAF?

Sesungguhnya kalimah (perkataan) salaf (سلف) telah dikenali sama ada dalam Bahasa Arab atau melalui pengertian syara. (Lihat: Penjelasan Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam Majalah as-Solah No. 9 Syaban 1414) Perkataan salaf telah dikenal sejak sekian lama oleh masyarakat Arab antaranya melalui syair-syair Arab yang terkenal.

Salaf menurut bahasa (etimologi) ialah: “Orang-orang yang awal (تقدم) iaitu yang mula-mula atau (سبق) orang-orang yang terdahulu (yang telah berlalu). (Lihat: معجم مقايس اللغة 3/95 Ibnu Faris. Lihat: Al-Mufradat Fi Gharibil Quran, hlm. 244) Dimaksudkan juga pendahulu bagi suatu generasi. (Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi) Atau:

من تقدمك من آبائك وذوي قرابيك الذين هم فوقك فى السن والفضل

"Salaf: Sesiapa yang mendahului kamu seperti ibu bapa, kerabat yang lebih tua pada umur atau kedudukan". (Lihat: Lisan 9/159. Ibnu Manzur. 3/2069, Pengertian dinukil oleh Ibn Mansur dari Ibnu Atsir dalam Gharibil Hadis. Lihat: المفسرون للمغراوى 1/18. Lihat:القاموس المحيط al-Fairuz Abadi)

Antara yang paling benar (tepat dan rajih) pengertian salaf ialah:

“Orang-orang yang terawal (yang terdahulu) terutama dari para Nabi, para sahabat Nabi, para tabi’in dan mereka yang mengikut jejak (meniti manhaj) mereka-mereka yang telah lalu terutama para imam mujtahid yang empat”. (Lihat: تحفة المريد على جوهر التوحيد hlm. 231. Ibrahim Baijuri)

Yang dimaksudkan dengan salaf ialah: Sahabat, yang mengikut sahabat (tabi’in), yang mengikut tabi’ut at-tabi’in dan a’immatul Islam yang adil, yang disepakati oleh umat tentang keimaman mereka dalam agama, yang hebat peranan mereka pada menegakkan agama, orang-orang Islam menerima kata-kata mereka sama ada dari kalangan salaf atau khalaf, meredai dan menerima mereka. Seperti dua orang Syufiyan, Laith bin Sa’ad, Abdullah bin Mubarak, Ibrahim Nakhi, al-Bukhari, Muslim dan keseluruhan ashabus sunnan rahimahumullah. Dan tidak termasuk mereka yang tertuduh sebagai golongan ahli bid’ah dan menerima gelaran yang tidak diredai seperti Khawarij, Rawafidh, Mu’tazilah, Jabariyah dan semua firqah yang sesat. Maka mazhab Salaf ialah: Sesiapa yang berpegang kepada iktikad yang disandarkan kepada para Salaf as-Soleh. (Lihat: الغقائد السلفية بادلتها النقلية والعقلية شرح الدرة السنية فى عقيدة اهل السنة المرضية 1/11. Ahmad bin Hajar Ali Butami)

Telah dinukil dari as-Safarini dari kitab “Al-Lawami’ اللوامع” dari Ibnu Rejab. Ia telah menentukan had zaman yang dinamakan zaman salaf, yang mana beliau berkata:

“Pada ketika ini, penentuan zaman salaf menurut kitab yang termuat kata-kata para a’immah as-Salaf yang menjadi contoh iaitu hanya sampai ke zaman as-Syafie, Ahmad, Ishak dan Abi Ubaid. Namun manusia telah diperingatkan tentang bid’ah selepas mereka kerana akan berlaku selepas mereka bid’ah yang amat banyak”. (Lihat: لوامع الأنوار البهية 1/26)

Mereka yang ditunjukkan di atas adalah para salaf yang dinasabkan kebaikan dan digelar sebagai Ahli al-Hak. Diikuti (ditaati) athar mereka kerana mereka hidup di kurun yang terbaik sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di beberapa hadis yang sahih.

SALAF TIDAK DISANDARKAN KEPADA MASA ATAU TARIKH

Kalau maksud salaf disandarkan kepada masa atau tarikh maka marhalah salaf telah berlalu dengan kematian mereka iaitu mereka yang hidup dikurun generasi pertama (sahabat) dikurun kedua (tabi’in) dan dikurun ketiga (dizaman para tabi’ut at-tabi’in). Namun jika disandarkan kepada manhaj maka salaf, salafi atau salafiyah kekal berterusan sehingga ke Hari Kiamat.

Tetap sah, diterima dan dianggap sebagai salafi setiap individu apabila menasabkan (menyandarkan) susur galur akidah, ibadah, akhlak atau amal mereka kepada para salaf yang telah berlalu setelah memenuhi syarat-syarat, tuntutan dan komited kepada prinsip manhaj salafi. Hakikat ini bersandarkan kepada sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ اُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ عَلَى الْحَقِّ ، لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ ، حَتَّى يَاْتِيَ اَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ

“Akan sentiasa ada satu golongan (kelompok) dari umat ini, yang terang-terangan di atas kebenaran, tidak akan membahayakan mereka sesiapa yang menentang mereka sehinggalah datang urusan Allah sedangkan mereka masih tetap seperti itu (meniti di atas manhaj salaf yang benar)”. (H/R Muslim 3/1523. Kitab al-Imarah)

Hadis di atas ini adalah khabar dari Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Melalui sabdanya inilah baginda memberi khabar dan keyakinan kepada orang-orang yang beriman bahawa golongan Salaf as-Soleh akan sentiasa ada disetiap generasi dan zaman sehinggalah ke Hari Kiamat.

PENGERTIAN SALAF MENURUT TERMINOLOGI

Adapun kalimah salaf menurut terminologi: Ia adalah sifat (sikap) yang dikhususkan kepada para sahabat Nabi radiallahu ‘anhum dan sesiapa yang mengikut jejak (mengikut manhaj) mereka dengan baik sehingga ke Hari Kiamat atau yang berittiba’ dengan mereka. (Lihat: المفسرون بين التاويل والاثبات 1/19-20) Penjelasan atau definisi seperti ini termaktub dalam kitab-kitab turath yang muktabar.

Kalimah salaf adalah kalimah Arab tulin (asli) kerana ia tercatit dalam al-Quran al-Karim. Sebagaimana firman Allah ‘Azza wa-Jalla:

فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلاً لِلاَخِرِيْنَ

"Maka Kami jadikan mereka (orang-orang) yang terdahulu sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian". (Az-Zukhruf, 43: 56)

Kalimah salaf atau salafi telah tercatit juga di dalam hadis-hadis dan athar-athar yang sahih, sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَلاَ اَرَى اْلاَجَلَ اِلاَّ قَد اقْتَرَبَ ، فَاتَّقِيْ وَاصْبِرِيْ ، فَاِنَّهُ نِعْمَ السَّلَفِ اَنَا لَكِ

“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Dan tidaklah ada yang sedang aku rasakan pada usiaku kecuali sudah menghampiri (kewafatan) maka bertakwa dan bersabarlah (wahai Fatimah!), sesungguhnya semulia-mulia salaf adalah aku bagimu”. (H/R Bukhari, Kitab al-Isti’zan/Fadail Sahabah. Muslim. 2450. Fadail Sahabah)

Dari hadis sahih di atas ini, adalah sangat mulia dan terhormat seseorang yang mengatakan: “Aku adalah seorang salafi”. Pengakuan seperti ini bukanlah suatu yang salah atau bid’ah. Kerana itulah pengakuan yang paling benar dan mulia yang keluarnya dari mulut Rasulullah yang tercinta. Itulah pengakuan Rasulullah yang seluruh umat Islam disuruh mensifati dan mencontohinya.

Tidak boleh merasa aib (malu atau kekurangan) menggelar dirinya sebagai seorang salafi sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah. (Lihat penjelasan lebih lanjut dalam: Manjmu’ah al-Fatawa. 14/149. Ibnu Taimiyah) Kerana Rasululullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sendiri telah mengatakan dan mengakui: “Sebaik-baik atau semulia-mulia salaf adalah aku”.

Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengaku diri baginda sebagai seorang salafi yang terbaik, maka bagindalah sebagai contoh yang paling benar dan baik untuk diikuti oleh sekalian umatnya.

Oleh itu tidak boleh dipertikaikan hakikat dan kenyataan ini bahawa sesiapa sahaja yang kembali kepada manhaj Rabbani, manhaj Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, manhaj para sahabat, para tabi’in, tabi’ut at-tabi’in dan orang-orang yang mengikut manhaj mereka maka dia dinamakan seorang salafi berdasarkan manhajnya bukan zaman atau marhalahnya.

Terdapat sebuah lagi sabda baginda yang menerangkan tentang kesalafan sahabat, baginda bersabda:

فَلَمَّا مَاتَتْ زَيْنَبُ اِبْنَةُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِلْحَقِيْ بِسَلَفِنَا الْخَيْرِ عُثْمَانِ بْنِ مَظْعُوْن

“Maka setelah Zainab Binti Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam meninggal, baginda bersabda: Pertemukan dia dengan salaf kita yang baik Uthman bin Madz’oun”. (H/R Ahmad dalam Musnad. 1/237-238. Ibnu Sa’ad dalam At-Tabaqat. 8/37. Hadis ini disahihkan oleh Abul Asybal Ahmad Syakir. Lihat: Syarah al-Musnad 3103)

Dari sabda Rasulullah: (فانه نعم السلف انا لك) “Sesungguhnya semulia-mulia salaf adalah aku bagimu”. Dan sabdanya: الحقي بسلفنا الخير عثمان بن مظعون)) “Pertemukan dia dengan salaf kita yang baik Uthman bin Madz’oun”. Maka hadis-hadis ini sebagai dalil (hujjah) bahawa gelaran salafi bukan sahaja dikhususkan kepada para nabi dan para sahabat semata, malah sesiapa sahaja yang berittiba’ (mengikut manhaj) mereka sehingga ke Hari Kiamat juga dinamakan salafi. Atau setiap orang Islam yang mengikut pemahaman mereka dinamakan sebagai salafi. (Lihat: Majalah as-Solah. No.9. hlm 86-89. Penjelasan al-Albani) Ini menjadi hujjah untuk membuktikan bahawa semua para Nabi, para Rasul dan para sahabat adalah para salaf kita. Ini dapat difahami juga dari pengertian dan definisi salaf dari para ulama kita yang telah menjelaskan:

“Salaf ialah orang-orang terdahulu, mereka terdiri dari para Nabi (dan juga para Rasul), para sahabat, tabi’in dan mereka yang berittiba’ kepada mereka-mereka khasnya para a’immah mujtahid yang empat”. (Lihat: Tuhfatul Murid ‘Ala Jauharah at-Tauhid. Hlm. 231. Ibrahim al-Baijiri. Tahqiq: Abdullah Muhammad Khalil)

Adapun salaf menurut syara ialah dikenali juga dengan sebutan Salaf as-Soleh, iaitu:

“Dimaksudkan salaf as-Soleh ialah mereka yang terdiri dari: Para sahabat (radiallahu ‘anhum), tabi’in dan sesiapa yang mengikuti mereka yang terdiri dari a’immatul Islam yang adil, yang disepakati oleh ummah tentang keimaman mereka dalam agama, diagungkan pendapat mereka dalam agama, orang-orang Islam bertalaqi ilmu dengan kata-kata mereka, semua yang terdahulu atau yang sesudahnya dengan penuh reda dan menerima mereka. Seperti a’immah yang empat (Hambali, Syafie, Maliki dan Hanafi. Pent.), dua orang Sufiyan, Laith bin Sa’ad, Abdullah bin Mubarak, Ibrahim an-Nakhii, al-Bukhari, Muslim dan semua ashabu as-sunnan selain yang telah dilontarkan kepadanya gelaran bid’ah atau masyhur dengan gelaran yang tidak diredai seperti Khawarij, Rafidah, Mu’tazilah, Jabariyah dan semua golongan yang sesat. Dan mazhab Salaf ialah sesiapa sahaja yang berjalan di atasnya dan menasabkan i’tiqad (akidah)nya kepada mereka”. (Lihat: منهج الاستدلال على مسائل الاعتقاد عند اهل السنة والجماعة 1/34-35, Uthman bin Ali Hasan)

Melalui beberapa definisi, hujjah dari ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih di atas, jelaslah bahawa pengertian salaf ialah: Yang mula-mula, yang awal dan yang terdahulu (generasi pertama dari kalangan sahabat). Istilah ini dikuatkan lagi oleh firman Allah Ta’ala:

وَالسَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْاهُمْ بِاِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضَوْا عَنْهُ وَاَعَّـدَ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِيْ تَحْتَهَا اْلاَنْهَارُ خَالِدِيْنَ فِيْهَا اَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمِ

"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar". (at-Taubah, 9:100)

Salaf di ayat ini ialah: "Orang yang mula-mula atau orang-orang awal-awal (terdahulu)” iaitu para sahabat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang beriman dengannya.

PARA SAHABAT ADALAH PARA SALAF AS-SOLEH YANG UTAMA

Sahabat: Definisi sahabat menurut ulama hadis ialah: Orang yang bertemu Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, dia beriman dengannya serta mati dalam keadaan Islam. (Lihat: Lamahat Fi Usul al-Hadis. Hlm. 24. Dr. Muhammad Adib Soleh)

Para Salaf as-Soleh yang paling utama diketuai oleh Muhajirin dan Ansar. Mereka adalah golongan sahabat dan telah sepakat sekalian Ahli Sunnah wal-Jamaah tentang keadilan mereka. Tidak ada yang khilaf tentang kemuliaan dan keutamaan mereka kecuali golongan Ahli Bid’ah. Allah telah menjamin kebenaran Muhajirin dan Ansar dalam berkorban jiwa dan raga. Mereka sangat meredai Allah dan Allah meredai mereka. Mereka menjadi pembantu dan pengikut Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang paling setia. Mereka paling percaya (beriman), paling benar ketakwaannya dan sebaik-baik umat yang paling suci hatinya yang ada di dunia ini. Mereka berada dalam koridor keIslaman, keimanan yang jernih. Akidah dan ibadah mereka sentiasa disaring oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Allah telah berfirman menjelaskan keadaan para sahabat yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar:

للْفُقَرَآءِ الْمُهَاجِرِيْنَ الَّذِيْنَ أُخْرِجُوْا مِنْ دِيَارِهِمْ وَاَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُوْنَ فَضْلاً مِّنَ اللهِ وَرِضْوَانًا وَيَنْصُرُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ اُوْلَئِكَ هُمُ الصَّادِقُوْنَ

“(Juga) bagi para fuqara yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keredaanNya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar”. (al-Hasyr, 59:8)

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ للنَّاسِ

“Kamu (para sahabat) sebaik-baik umat dikeluarkan untuk manusia”. (Ali Imran, 3:110)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اِنَّ اللهَ اخْتَارَاَصْحَابِيْ عَلَى الثَّقَليْنِ سِوَى النَّبِيِّنَ وَالْمُرْسَلِيْنَ

“Sesungguhnya Allah telah memilih (memuliakan) para sahabatku atas semua jin dan manusia, kecuali para nabi dan para rasul”. (H/R Bazzar dalam Musnadnya. Disebut oleh Ibn Hajar dalam al-Isabah. 1/21-22. Beliau berkata para perawinya dipercayai. Disebut oleh Al-Haitami dalam Majma’ al-Zawaid 10/16)

اَكْرمُوْا اَصْحَابِيْ ، فَاِنَّهُمْ خِيَارُكُمْ

“Muliakanlah para sahabatku kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang (yang menjadi contoh) terbaik bagi kamu”. (Diriwayatkan oleh Baihaqi dalam Al-I’tiqad. 320. Al-Khatib dalam Tarikh Bagdad. 6/57. Dikeluarkan oleh Ibnu Manduh dalam Kitab al-Iman. 1/961-962. Disebut oleh Al-Albani dalam Silsilah as-Sahihah. 3/109-110 dan dalam Sahih al-Jami’ 2/345)

Selain dijelaskan oleh Allah sebagai orang-orang mulia yang benar dan sebaik-baik ummah maka mereka juga dianggap oleh Allah Azza wa-Jalla sebagai umat yang paling adil dan umat pilihan Allah sebagaimana firman-Nya:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ اَمَّةً وَسَطًا

“Dan demikianlah Kami menjadikan kamu (umat Islam terutamanya para sahabat) umat yang adil dan pilihan”. (Al-Baqarah. 2:143)

يَا اَيُّهَا النَّبِيُّ حَسْبُكَ اللهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ

“Wahai Nabi, cukuplah Allah (menjadi Pelindung) bagimu dan bagi orang-orang mukmin yang mengikutimu!”. (Al-Anfal, 8:64)

Kata-kata sahabat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah hujjah yang wajib diamalkan (diterima pakai). Begitulah menurut qaul Imam Malik, Syafie, Ahmad, kebanyakan ulama usul, ulama fikah Hanafiyah, Ibnu Uqail, Al-Bagdadi, Ibnu Qaiyim juga memilihnya sebagai hujjah sebagaimana terdapat dalam I’lamul Muwaqqi’in, dituruti oleh Syatibi dalam Al-Muwafaqat serta Ibnu Taimiyah. (Lihat: اعلام الموقعين Ibnul Qaiyim. 3/120. Lihat: الموافقات 4/74. Syatibi. Lihat: مجموع فتاوى 5/413. Lihat: اقتضاء الصراط المستقيم 2/687)

Ingatlah, bahawa para sahabat adalah pembela Rasulullah dengan jiwa dan raga mereka, memelihara sunnah baginda, menolong menyebar agama dan mengangkat martabatnya, mengambil contoh agama dari baginda, mengikut (ittiba’) pada semua yang didatangkan kepada mereka, menyampaikan dan menyalin antara satu dengan yang lain, tiada yang mereka ketahui melainkan disampaikan kepada yang lain!. Rasulullah mengakui tentang kenyataan ini dengan bersabda:

مَامِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ اِلاَّ كَانَ لَهُ فِى اُمَّتِهِ حَوَّارِيُّوْنَ وَاَصْحَابُهُ يَاْخُذُوْنَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُوْنَ بِاَمْرِهِ

“Tiada seorang nabipun kecuali dibangkitkan oleh Allah Azza wa-Jalla ada bersamanya umat yang menjadi penolongnya, para sahabatnya yang mengambil agama melalui sunnahnya dan mencontohinya dalam melaksanakan semua perintahnya”. (H/R Muslim. Dalam Kitab al-Iman. 1/69. Ahmad dalam Musnadnya. 1/458)

Antara dalil-dalil bahawa kata-kata sahabat itu adalah hujjah ialah firman Allah di dalam al-Quran, sunnah dan athar:

وَالسَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُمْ بَاِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوْا عَنْهُ

“Orang-orang yang mula-mula lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari kalangan muhajirin dan ansar dan mereka yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan merekapun reda kepada Allah”. (at-Taubah. 9:100)

Imam Malik rahimahullah berhujjah dengan ayat ini dan menerangkan:

“Sesungguhnya ayat ini mengandungi pujian terhadap para sahabat dan sanjungan ke atas mereka. Mereka berhak menjadi a’immah, apa yang ada pada mereka menjadi contoh ikutan, diambil kata-katanya dan layak menerima sanjungan (dan pujian) bagi sesiapa yang mengikuti keseluruhan mereka atau mengikuti setiap perbuatan mereka selagi mereka tidak menyalahi nas”. (Lihat: اعلام الموقعين 4/129)

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ للنَّاسِ تَاْمُرُوْنَ بَالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah”. (Ali Imran. 3:110)

Diriwayatkan oleh Ibn Jarir dari Dhahak berkata: Mereka itu adalah para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam secara khusus. (Beliau menambah): Yang mana mereka (para sahabat) kalangan perawi-perawi yang diseru agar kaum muslimin mentaati mereka”. Berkata Ibnu Qaiyim: Berdasarkan ayat ini, jelaslah tentang wajibnya mengikut para sahabat. (Lihat: اعلام الموقعين 4/131) Berkata as-Syatibi: Apabila dibacakan ayat tersebut, ia menunjukkan sunnah para sahabat radiallahu ‘anhum. Segala sunnah yang telah mereka amalkan hanya dirujukkan kepada mereka (Lihat: الموافقات 4/74. As-Syatibi) oleh sekalian ummat sesudah mereka, kerana mereka adalah para salaf yang terbilang.

Diriwayatkan oleh al-Khatib dengan sanad dari ‘Umir as-Sya’bi, beliau berkata:

مَاحَدثُوْكَ عَنْ اَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخُذْهُ

“Tentang apa saja (berkaitan agama) yang diucapkan oleh para sahabat Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam,maka ambillah dia”. (Lihat: شرف اصحاب الحديث 74. Al-Khatib)

Adapun dalil dari hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

خَيْرُ النَّاسِ الَّذِيْ اَنَا فِيْهِ ، ثَمَّ الثَّانِيْ ثُمَّ الثَّالِثِ

“Sebaik-baik kurun adala kurun yang aku berada di dalamnya, kemudian kurun yang kedua (kurun tabi’in) dan kemudian kurun ketiga (kurun tabi’ut at-tabi’in). (H/R Muslim. Pada kita Fadhail Sahabat. 2/1960. Abu Daud dalam kitab As-Sunnah 5/44)

Berkata Ibnu Taimiyah rahimahullah:

“Pasti akan menjadi kenyataan bagi sesiapa yang menumpukan perhatiannya kepada al-Kitab dan as-Sunnah, malah telah disepakati oleh Ahli Sunnah wal-Jamaah dari semua golongan, bahawa sebaik-baik kurun bagi ummah ini dari segi amal, perkataan, iktiqad dan merangkumi juga perkara-perkara selainnya maka yang terbaik ialah dikurun pertama (kurun sahabat), kemudian kedua (kurun tabi’in) dan seterusnya ketiga (dikurun tabi’ut at-tabi’in) sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis-hadis yang berbagai jalurnya. Mereka lebih baik dari orang-orang yang sesudah mereka (zaman khalaf) dalam semua kebaikan. Sama ada ilmu, iman, akal, agama, bayan dan ibadah. Mereka lebih utama dalam menjelaskan agama dalam semua persoalan. Semuanya ini tidak dapat ditolak kecuali oleh orang yang memandai dalam agama iaitu agama Islam dan ia telah disesatkan oleh Allah atas (nama) ilmu”. (Lihat: مجموع الفتاوى 4/185. Ibnu Taimiyah)

Hadis ini menunjukkan bahawa selepas apa yang dari Rasulullah ialah athar dari para sahabat. Sufyan ath-Thauri berkata:

اِنَّمَاالدِّيْنُ بِاْلآثَارِلَيْسَ بِالرَّاْيِ اِنَّمَا الدِّيْنُ بِاْلآثَارِلَيْسَ بَالرَّاْيِ

“Sesungguhnya agama itu dengan (mengikut) athar bukan dengan pandangan, sesungguhnya agama itu dengan (mengikut) athar bukan dengan pandangan (pendapat)”. (Lihat: شرف اصحاب الحديث hlm. 6)

Berkata al-Auzaii rahimahullah:

عَلَيْكَ بِآثَارِ مَنْ سَلَفَ وَاِنْ رَفَضَكَ النَّاس ، وَاِيَّاكَ وَرَاْيُ الرِّجَال ، وَاِنْ زُخْرُفُوْهُ لَكَ بِالْقَوْلِ

“Hendaklah engkau kembali (berpegang) kepada athar para salaf walaupun engkau disingkir oleh manusia. Berjaga-jagalah engkau dari pendapat (buah fikiran) seseorang, sekalipun ia merupakan kata-kata yang indah (yang mempersonakan)”. (Lihat: شرف اصحاب الحديث hlm. 6)

Berkata Abdullah bin Daud rahimahullah:

لَيْسَ الدِّيْنَ بِالْكَلاَمِ ، اِنَّمَا الدِّيْنُ بِاْلآثَارِ

“Bukanlah agama itu yang mengikut perkataan seseorang tetapi agama itu ialah dengan berpegang (mengikut) kepada athar”. (Lihat: شرف اصحاب الحديث hlm. 6)

Terlalu banyak hadis dan athar yang sahih memerintahkan agar kita sentiasa berpegang atau kembali dengan athar-athar para sahabat yang sahih kerana mereka adalah para Salaf kita dan mereka telah dimuliakan Allah Azza wa-Jalla.

MUHAJIRIN DAN ANSAR

Para Muhajirin dan Ansar adalah golongan sahabat yang pertama (mula-mula dan paling awal) menerima Islam dan iman secara langsung dari Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Sikap, jiwa dan hati mereka adalah yang terbaik kerana tidak dicemari oleh berbagai-bagai pengaruh jahiliyah seperti khurafat, tahayul atau karut-marut. Mereka berada di atas fitrah (agama) yang selamat dan bersih. Mereka menyandarkan akidah mereka hanya kepada wahyu Allah yang suci. Pemikiran mereka tidak ternoda oleh fahaman falsafah metafizik (falsafah-falsafah dari Yahudi, Nasrani dan Majusi terutamanya Falsafah Yunan atau Greek). Pola laku dan pola hidup mereka tidak dikotori oleh kesyirikan, bid’ah atau hawa nafsu. Akidah mereka sentiasa terpelihara.

Allah telah melihat jiwa dan hati para sahabat. Allah menjelaskan bahawa hati mereka adalah sebaik-baik hati setelah hati Rasulullah. Abdullah bin Masoud radiallahu ‘anhu meriwayatkan:

اِنَّ اللهَ نَظَرَ فِى قُلُوْبِ الْعِبَادِ ، فَوَجَدَ قَلْبَ مُحَمَّدٍ خَيْرَ قُلُوْبِ الْعِبَادِ ، فَاصْطَفَاهُ لِنَفْسِهِ ، وَابْتَعَثَهُ بِرِسَالَتِهِ ، ثُمَّ نَظَرَ فِيْ قُلُوْبِ الْعِبَادِ بَعْدَ قَلْبِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَوَجَدَقُلُوْبَ اَصْحَابِهِ خَيْرَقُلُوْبِ الْعِبَادِ ، فَجَعَلَهُمْ وُزَرَاءَ نَبِيِّهِ

“Sesungguhnya Allah telah melihat hati-hati para hamba-hambaNya maka Allah dapati hati Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah hati yang terbaik antara hamba-hambaNya. Maka Dia memilihnya dan diutusnya dengan risalah, kemudian Dia melihat kepada hati-hati para hambaNya setelah hati Nabi-Nya. Maka Dia dapati hati-hati para sahabat adalah hati yang terbaik antara para hamba-hambaNya. Maka Dia jadikan mereka sebaik-baik pendamping Nabi-Nya yang mereka berperang di atas agama-Nya”. (Hadis dikeluarkan oleh Ahmad 1/379. Disahihkan oleh Hakim dan disetujui oleh Az-Zahabi)

Wajib mengikuti (ittiba’) kepada para Salaf as-Soleh terutamanya yang diketuai oleh para sahabat kerana mereka sentiasa mencari keredaan Allah dan mereka telah diredai oleh Allah sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya:

رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ

“Allah reda terhadap mereka (para sahabat)”. (at-Taubah, 9:100)

يَبْتَغُوْنَ فَضْلاً مِنَ اللهِ وَرِضْوَانًا

“Mereka mencari kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya”. (al-Hasyr, 59: 8)

Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa para Salaf as-Soleh terawal (para sahabat), mereka dicintai oleh Allah Azza wa-Jalla dan mereka pula sangat mencintai Allah. Mereka telah diberi balasan dengan kekuatan iman, anugerah ilmu serta ketenangan jiwa dan hati oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Allah berfirman:

لَقَدْ رَضِيَ اللهُ عَنِ الْمُؤْمِنِيْنَ اِذْ يُبَايِعُوْنَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِىقُلُوْبِهِمْ فَاَنْزَلَ السَّكِيْنَةَ عَلَيْهِمْ وَاَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيْبًا

“Sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)”. (al-Fath, 48: 18)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda tentang ayat di atas:

لاَ يَدْخُلُ النَّارَ اَحَدٌ بَايَعَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ

“Tidak akan masuk neraka seorangpun yang telah berbai’at di bawah pohon”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Hujjah-hujjah di atas membuktikan bahawa para salaf kita yang pertama iaitu yang terdiri dari para sahabat radiallahu ‘anhum adalah golongan ahli syurga. Oleh itu merekalah yang paling layak dan benar untuk diikuti dan dicontohi dalam berakidah dan beramal.

WAJIB BERITTIBA’ KEPADA MANHAJ PARA SALAF

Wajib berittiba’ kepada manhaj para salaf terutamanya dari kalangan para sahabat kerana mereka golongan yang sangat berwibawa. Terkenal dengan kehebatan sahsiah, kebaikan budi-pekerti, kemuliaan akhlak dan Allah menganugerahkan mereka dengan kesempurnaan iman yang tidak dapat ditandingi oleh sekalian manusia.

Mereka telah berjaya memperjuangkan syariat, menghidupkan, mempertahankan dan menjaganya dari dicabuli oleh bid’ah atau kerosakan hawa nafsu. Mereka mengetahui sebab-sebab turunnya wahyu dan melaksanakan semua dalil-dalil mengikut kenyataan. Ayat-ayat turun pada asalnya tertuju kepada mereka sebelum ditujukan kepada orang-orang lain yang lahir kemudian sesudah mereka. Mereka asas (untuk merujuk) kefasihan (kesahihan Bahasa Arab) dan penjelasannya kerana wahyu turun menggunakan bahasa (lisan) mereka. Rasulullah secara langsung terus menjelaskan segala masalah atau kemusykilan yang menimpa mereka. Allah Azza wa-Jalla berkali-kali memuji di dalam firmanNya dan merahmati mereka serta orang-orang yang berittiba’ (mengikut jalan) manhaj mereka. Ditinggikan darjat sesiapa yang mengikut mereka lantaran ketinggian darjat mereka. (Lihat: العقيدة السلفية فى كلام رب البرية hlm. 25. Al-Jadi’) Dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدِ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهَ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ تَسُبُّوْا اَصْحَابِيْ ، فَلَوْ اَنَّ اَحَدكُمْ اَنْفَقَ مِثْلَ اُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ اَحَدِهِمْ وَلاَ نَصِيْفَهُ

“Janganlah kamu mencerca para sahabat, seandainya salah seorang dari kamu berinfaq sebesar gunung Uhud, tidaklah ia mencapai ganjarannya satu mud (ukuran gandum sebanyak dua telapak tangan) makanan yang disedekahkan oleh salah seorang dari mereka dan bahkan tidak pula mencapai setengah mudnya”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Sebagaimana yang telah dijelaskan, manhaj bermakna “Jalan” atau صراط maka jalan yang wajib diikuti oleh setiap orang beriman ialah yang telah ditunjuk dan disediakan oleh Allah dan RasulNya agar kita tidak tergelincir dari mengikutinya. Itulah yang diperintahkan oleh al-Quran dan as-Sunnah:

وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ

“Dan sesungguhnya inilah jalan Ku yang lurus maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu dari jalannya”. (al-An’am, 6: 153)

Maksud “Jalan Ku yang lurus” ialah: “Al-Quran, Islam dan fitrah yang Allah fitrahkan kepada manusia”. Dan maksud: “Janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain)” ialah: “Hawa nafsu, perpecahan, bid’ah dan setiap yang baru yang diada-adakan”. Mujahid pula menafsirkan sebagai: “Bid’ah, syubahat-syubahat dan segala kesesatan”. (Lihat: Tafsir Mujahid. Hlm. 227) Di dalam sebuah hadis, setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam membacakan ayat tersebut lalu baginda membuat garisan:

وَهُوَ يَمُرُّ بَاَصْبَعِهِ عَلَى الْخَطِّ الْمُسْتَقِيْمِ هَذَا صِرَاطُ اللهِ ثُمَّ اَشَارَ اِلَى الْخُطُوْطِ الْقَصِيْرَةِ مِنْ حَوْلِهِ فَقَالَ : هَذِهِ طُرُقٌ وَعَلَى رَاْسِ كُلِّ طَرِيْقٍ مِنْهَاشَيْطَانٌ يَدْعُوْ النَّاسَ اِلَيْهِ

“Baginda membuat satu garis lurus dengan tangannya lalu baginda bersabda: Ini jalan Allah, kemudian menunjukkan ke beberapa garisan pendek di sekitar garisan tersebut maka baginda bersabda: Inilah jalan-jalan yang di setiap atas jalan tersebut terdapat syaitan yang mengajak manusia kepadanya (kepada syaitan)”.

Adapun garisan lurus yang digariskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah jalan yang ditafsirkan oleh baginda sebagai:

هِيَ مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ

“Itulah (jalan) yang aku dan para sahabatku berada di atasnya (atau dimaksudkan juga: itulah jalanku dan jalan para sahabatku)”. (Lihat: Mustadrak oleh Hakim. 1/128. Turmizi 5/26. No. 2641. Al-Ajiri dalam As-Syariah Hlm. 15-16. Disahihkan oleh Al-Bagawi dalam Syarah as-Sunnah. 1/213. Ibnul Jauzi dalam Talbisul Iblis. Hlm. 7. Ad-Dailamy dalam Al-Faidaus 3/439. No. 5347)

مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا اَنَا عَلَيْهِ الْيَوْم وَاَصْحَابِيْ

“Sesiapa yang di atas contoh mengikut apa yang aku berada pada hari ini berserta para sahabatku”. (H/R Turmizi dalam Kitab Al-Iman. 2641. 5/25-26)

Maka garisan yang digaris oleh Rasulullah itulah jalan yang dilalui oleh baginda dan para sahabat yang dinamakan sebagai “Manhaj Salaf”. Sesiapapun tidak akan keluar dari jalan tersebut kecuali orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya. Allah berfirman:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَاتَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَشَآءَ تْ مِصِيْرًا

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang beriman, Kami biarkan dia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan dia ke dalam Jahanam dan jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali”. (an-Nisa, 4:115)

Pastinya jalan orang-orang yang beriman yang dimaksudkan oleh ayat di atas ini ialah jalan Rasulullah dan para sahabat serta orang-orang yang mengikut jalan mereka. Malah penjelasan ini dikuatkan lagi dengan sabda baginda:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا اِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا ، كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ ، وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَيَّ الْحَوْضِ

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, selagi kamu berpegang dengan keduanya kamu tidak akan disesatkan iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah RasulNya (hadis-hadis sahih) sampai keduanya datang kepadaku di Huudh”. (H/R Malik dalam Muwata’. Hakim dalam Mustadrak. Dan disahihkan oleh al-Albani dalam Sahihul Jami’. No. 2937)

Orang-orang yang mengikuti jalan atau berpegang teguh dengan apa yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah, mereka tidak akan sesat ke jalan yang menuju neraka iaitu jalan-jalan yang melencung ke sebelah kanan atau kiri. Kerana di atas setiap jalan-jalan yang bukan jalannya Rasulullah dan para sahabat, terdapat syaitan yang mengajak ke neraka. Maka jalan yang selamat itu hanyalah satu iaitu jalan Rasulullah yang dinamakan sebagai manhaj Salaf as-Soleh.

Berkata Abu Hanifah rahimahullah:

عَلَيْكَ بِالأَثَارِ ، وَطَرِيْقَةِ السَّلَفِ ، وَاِيَّاكَ وَكَلُّ مَحْدَثَة ، فَاِنَّهَا بِدْعَةٌ

“Hendaklah kamu berpegang dengan athar dan jalan salaf. Berjaga-jagalah kamu dari setiap yang diada-adakan kerana sesungguhnya ia adalah bid’ah”. (Lihat: السنن والمبتدعات hlm. 6. Muhammad Abdussalam)

Para Salaf as-Soleh yang terdiri dari para tabi’in, tabi’ut at-tabi’in serta para aimmatul huda (imam-imam salaf), semua mereka mengikut manhaj Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan jalan para sahabat. Mereka tidak merubah dan menggantinya dengan yang lain. Oleh kerana mereka mempertahankan manhaj ini, maka sunnah dan athar para sahabat masih terjaga sehingga sekarang. Sewajarnya kita mengikut jejak mereka untuk memelihara sunnah dari dicemari dan dicabuli oleh Ahli Bid’ah atau Ahli Ahwa.

Sesungguhnya jumhur Salaf as-Soleh membenci bid’ah, mereka lari dari semua pembuat bid’ah (Ahli Bid’ah) kerana semata-mata untuk memelihara yang asal iaitu berittiba’ kepada sunnah. (Lihat: الامر بالاتباع والنهي عن الابتداع Hlm. 81. Jalalluddin as-Suyuti. Tahqiq Masyhur Hasan Salman)

JALAN ATAU MANHAJ YANG DIBENARKAN OLEH SYARA

Sesungguhnya hanya ada satu jalan sahaja yang dibenarkan oleh syara iaitu jalan yang dimaksudkan berupa manhaj sebagaimana yang tertera dalam ayat yang lalu iaitu manhaj yang telah dilalui dan ditunjukkan oleh Rasulullah kepada para Salaf as-Soleh yang disebut di dalam ayat sebagai: (سبيل المؤمنين) “Jalan orang-orang yang beriman”. (Lihat: وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ An-Nisa. 4: 115)

Dengan jaminan Allah dan RasulNya, bahawa para salaf adalah manusia yang paling sempurna sehingga diredai, dicintai dan telah ditentukan sebagai penghuni syurga, mengapa kita tidak mahu mengikut manhaj mereka yang selamat yang disebut oleh Rasulullah sebagai manhaj Salaf as-Soleh?

Berittiba’ atau mengikut jalan-jalan selain jalannya orang beriman (selain manhaj para Salaf as-Soleh) maka semua jalan-jalan tersebut akan menjauhkannya manusia dari manhaj Rasulullah. Akibatnya ia akan mengikut jalan yang syubhat, hawa nafsu, perpecahan dan jalan-jalan yang di atasnya ada syaitan yang mengajak kepadanya. Sedangkan perbuatan seperti itu telah diharamkan oleh Allah. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:

وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ

“Dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (syubhat) maka nescaya ia akan memecah-belahkan kamu dari jalan Allah”. (al-An’am, 6: 153)

Berhati-hatilah dari mengikut ucapan orang-orang yang tidak mengikut manhaj Salaf as-Soleh walaupun menggelar dirinya sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah kerana mereka gemar mengatakan dan beranggapan baiknya bid’ah (dianggap bid’ah hasanah) dalam agama atau membahagi-bahagikan bid’ah kepada beberapa bahagian. Mereka cuba mencantikkan bid’ah dengan hiasan kata-kata yang disusun indah dan mempersonakan. Mereka sebenar adalah musuh Allah, musuh nabi dan musuh orang-orang beriman. Allah berfirman:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِيْنَ اْلاِنْسِ وَالْجِنِّ يُوْحَى بَعْضُهُمْ اِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُوْرًا

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu”. (al-An’am. 6:112)

Sesungguhnya mereka telah dimisalkan dengan firman Allah dan perkataan Rasul-Nya (Lihat: السنن والمبتدعات hlm. 7. Muhammad Abdussalam):

كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ اَسْفَارَا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ

“Seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum tersebut”. (al-Jumaah. 62:5)

JALAN-JALAN YANG SYUBHAT

Orang-orang yang mengikuti jalan syubhat, mereka telah menyimpang dari jalan Allah. Tidak secara langsung telah meninggalkan jalan kebenaran atau hidayah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah, malah telah terkeluar dari manhaj Salaf. Dan orang-orang yang menyimpang dari jalan Allah yang dikenali sebagai jalan (manhaj) Salaf maka orang seperti ini telah menentang baginda. Perbuatan seperti ini telah diberi peringatan oleh Allah Ta’ala:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَاتَوَلَّىوَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَ تْ مَصِيْرًا

“Dan orang-orang yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali”. (an-Nisaa’, 4: 115)

Menentang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah dengan mengikut jalan selain jalan (manhaj) orang-orang beriman. Ia termasuk amalan bid’ah dan perkara yang diada-adakan. Ia jalan yang tidak pernah diizinkan oleh Allah, Rasul-Nya dan agama-Nya. Dan ia tidak ada kenamengena dengan agama Allah. (Lihat: السنن والمبتدعات Hlm. ب – ج Muhammad Abdulssalam)

Maksud: “Jalan orang-orang yang beriman” adalah jalan (manhaj) orang-orang yang utama, orang-orang yang digelar sebaik-baik ummah yang berada di kurun yang terbaik. Mereka itulah yang dikenali sebagai Salaf as-Soleh. Oleh itu diwajibkan mengikut manhaj Salaf (salafiyah) kerana mereka adalah manusia yang paling utama. Mereka bertemu dan bersahabat dengan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, hidup dizaman turunnya wahyu, mereka sangat memahami dan menjiwai wahyu, mereka manusia yang paling tahu dan berilmu tentang Islam sehingga keilmuan mereka mengatasi seluruh ilmu manusia. Mereka anak murid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan mereka adalah manusia yang paling kukuh imannya sebagaimana dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

آمَنَ الرَّسُوْلُ بِمَآ أُنْزِلَ اِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُوْنَ

“Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman”. (al-Baqarah, 2: 285)

Dengan ini amat jelas bahawa salaf, salafi atau salafiyah ialah:

“(Setiap orang yang beriman, pent.) yang meniti di atas jalan (manhaj) generasi awal dan sesiapa yang mencontohi mereka dalam mendapatkan ilmu, cara memahaminya dan cara naluri dakwahnya kepada manhaj ini. Ia tidak terhenti pada batas tarikh tertentu, malah wajib difahami bahawasanya ia (kekal berjalan) berterusan (tanpa henti-henti) melalui dalil-dalil yang kekal disepanjang hayat”. (Lihat: الصفات الالهية Hlm. 64. Muhammad Aman al-Jami)

Berkata Imam al-Barbahari rahimahullah:

“Terkeluarnya seseorang dari manhaj Salaf as-Soleh pada mulanya bermain-main dengan bid’ah. Ingatlah, perbuatan bid’ah bermula dari bid’ah-bid’ah yang kecil, kemudian ia berterusan sehingga menjadi bid’ah yang besar! Begitulah setiap bid’ah yang telah berlaku dalam umat ini, pada mulanya ia diawali dengan yang kecil, ia kelihatan seperti kebenaran, maka dicantik-cantikkanya hal tersebut, yang terperangkap tidak berdaya keluar darinya sehingga dibesar-besarkannya. Akhirnya menjadi agama yang dianutinya”. (Lihat: الصفات الالهية Hlm. 64. Muhammad Aman al-Jami)

HIZBULLAH HANYA YANG MENGIKUT MANHAJ RASULULLAH

Di setiap Negara Islam, di setiap tempat yang terdapat orang-orang Islam, di kalangan masyarakat Islam dan di mana sahaja wujudnya orang-orang Islam maka di situ pasti wujud kelompok (hizibi) yang mengatas-namakan golongan (hizbi) mereka sebagai hizbi Islami (hizbullah) atau parti Allah. Allah Azza wa-Jalla telah menjelaskan tentang adanya kelompok (hizbi) yang dibungkus atau diselimut dengan nama Islam tetapi tidak mengikut manhaj Salaf as-Soleh. Allah berfirman:

كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُوْنَ

“Setiap kelompok (hizbi/parti) bangga dengan yang ada pada kelompoknya sendiri”. (al-Mukminun. 57: 23)

Oleh kerana dalam Islam hanya mengizinkan satu hizbi, maka hanya hizbi yang mengikut manhaj Salaf sahaja yang beruntung, selamat dan diredai oleh Allah. Orang-orang yang beruntung, diberi nikmat dan diredai Allah bermula dari kalangan para sahabat, kemudian dianugerahkan kepada sesiapa sahaja yang mengikut manhaj para sahabat. (Di surah al-Fatihah ayat 7 Allah berfirman: صراط الذين انعمت عليهم “Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka”. Dimaksudkan: Orang-orang ialah para sahabat dan sesiapa yang mengikuti manhaj mereka yang dinamakan “Manhaj Salaf”) Allah benar-benar telah meredai manhaj mereka. Malah sesiapa yang mengikut manhaj yang selamat ini telah dijamin masuk syurga dan dijamin juga sebagai kelompok (hizbullah) yang beruntung sebagaimana firman-Nya:

رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوْا عَنْهُ اُوْلَئِكَ حِزْبُ اللهِ اَلآ اِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

“Allah reda terhadap mereka dan mereka merasa puas terhadap (limpahan rahmat)Nya. Mereka itulah golongan (hizbi) Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan (hizbi) Allah itu golongan (hizbi) yang beruntung!”. (al-Mujadalah, 58: 22)

Ayat di atas ini menjelaskan bahawa Allah meredai golongan (hizbullah) iaitu para sahabat dengan limpahan rahmat dan nikmat, begitu juga sesiapa yang berittiba’ kepada mereka. Untuk mengenal siapakah yang berada bersama golongan Allah dan dianggap hizbullah (hizbi Allah), lihatlah manhajnya, jika terkeluar dari manhaj Salaf as-Soleh (manhaj para sahabat yang telah diredai oleh Allah) kemudian mengikuti manhaj-manhaj yang lain maka mereka itu adalah hizbu as-syaitan yang merugi di akhirat kelak.

Allah telah mengkhabarkan tentang penghinaan Allah kepada berbagi-bagai hizbi yang telah diperangkap oleh syaitan (ditalbis oleh syaitan), sehingga lupa pada Allah dan menghina Rasulullah dengan cara meninggalkan manhaj yang telah dibina oleh baginda (manhaj Salaf as-Soleh). Sedangkan manhaj yang lurus ini telah diperjuangkan, dipelihara dan diteruskan oleh para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in setelah kewafatan baginda. Allah Azza wa-Jalla berfirman:

اِسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَاَنْسَاهُمْ ذِكرَ اللهِ اُوْلَئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ اَلآ اِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُوْنَ . اِنَّ الَّذِيْنَ يُحَآدُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ اُوْلَئِكَ فِى اْلأَذَلِّيْنَ

“Syaitan telah menguasai mereka lalu mejadikan mereka lupa mengingati Allah, mereka itulah golongan (hizbi) syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan (hizbi) syaitan itulah golongan yang merugi!. Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, mereka termasuk orang-orang yang sangat hina”. (al-Mujadalah. 58:19-20)

Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia sentiasa terkeluar dari Manhaj Salaf as-Soleh, agar sentiasa berada dalam golongan Ahli Bid’ah dan sentiasa dalam keadaan sesat. Namun, Allah akan menyelamatkan sesiapa yang berada di atas Manhaj Salaf as-Soleh. Allah telah mengkhabarkan tentang hal ini:

قَالَ رَبِّ بِمَآ اَغْوَيْتَنِيْ لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى اْلأَرْضِ وَلأُغْوِيَّنَّهُمْ اَجْمَعِيْنَ اِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِيْنَ

“Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya! Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis antara mereka”. (al-Hijr, 15: 39-40)

KEMULIAAN PARA TABI’IN

Tabi’in: Tabi’in (تابعين) berupa jama’. Mufradnya ialah tabi’i (تابعي) atau tabi’ (تابع). Menurut takrif dan kesepakatan Ulama Muslimin bahawa tabi’in ialah: Mereka yang bertemu dan bersahabat (berdamping) dengan sahabat yang lahir dan hidup dikurun yang mulia (قرن مفضلة) atau kurun yang terbaik (خير قرن).

Juga dikatakan tabi’in: Sesiapa yang bertemu dan meriwayatkan hadis. Atau pernah meriwayatkan hadis yang datang dari sahabat walaupun tidak pernah berdamping dengan mereka (para sahabat). Tetapi Abu Amru ibnu as-Solah dan Imam an-Nawawi serta selain mereka berdua hanya menerima pendapat yang pertama. (Lihat: Lamahat Fi Usul al-Hadis. Hlm. 62. Dr. Muhammad Adim Soleh. Dan lihat: At-Taqrib wat-Taisir. Hlm. 94. An-Nawawi) Ahli Sunnah wal-Jamaah diwajibkan berittiba’ (mengikuti) manhaj tabi’in kerana ia juga merupakan manhaj para sahabat radiallahu ‘anhum (manhaj Salaf as-Soleh).

KEMULIAAN TABI’ UT AT-TABI’IN

Setelah beritttiba’ kepada manhaj para sahabat maka diikuti pula oleh yang kemudiannya iaitu manhaj para tabi’in (تابعين) dan seterusnya berittiba’ kepada tabi’i at-tabi’in (تابع التابعين). Tabi’i at-tabi’in adalah: Mereka yang berada dizaman selepas tabi’in.

Mereka menerima tarbiyah dan tasfiyah Islamiyah dari para tabi’in. Mereka pewaris ilmu dari tabi’in. Dan sesiapa sahaja dinamakan orang-orang salaf (salafi atau salafiyun) apabila berittiba’ kepada manhaj Salaf as-Soleh (sahabat, tabi’in dan tabi’iut at-Tabi’in dengan baik sehinggalah ke Hari Kiamat).

Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah mengatakan:

“Orang-orang yang hidup pada tiga generasi (para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in) itulah yang dinamakan salaf. Mereka merupakan sebaik-baik umat dan mereka juga merupakan umat terbaik dari seluruh umat yang ada. Mereka insan terbaik setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan para nabi serta para rasul lainnya”. (Lihat: Al-Hawi. 2/266)

Walau bagaimanapun sewajarnya diambil perhatian, bahawa sesiapa sahaja yang menggabungkan diri mereka ke dalam manhaj salaf, yang terdiri dari Ahli Sunnah wal-Jamaah adalah manusia biasa, mereka tidak maksum. Namun kalangan mereka lebih dikenali sebagai siddiqin (terpercaya) dan syuhada”. (Lihat: واقعنا المعاصر hlm. 21. Soleh bin Abdullah al-‘Uthaimin) Mereka adalah ahli nikmat kerana Allah telah menjanjikan syurga kepada mereka.

MAKSUD DAN MAKNA ITTIBA’

Adapun makna atau maksud ittiba’ ialah:

اَلاِتِّبَاعُ : اَنْ يَتَّبِعَ الرَّجُلُ مَا جَاءَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاَصْحَابِهِ ثُمَّ مِنْ بَعْدِ التَّابِعِيْنَ مُخَيَّرٌ

“Ittiba’: Ialah apabila seseorang mengikuti apa yang datangnya dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dari para sahabat baginda. Kemudian dari sesudah tabi’in adalah perkara yang pilihan”. (Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Masail Imam Ahmad, 2/149. Lihat: Sifat Solat Nabi hlm. 35)

Setiap orang yang beriman adalah wajib bermanhaj (berittiba’) atau mengikut jalannya para Salaf as-Soleh. Ia adalah manhaj al-Quran, di atas manhaj inilah Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam beramal yang diikuti oleh para sahabat dan semua para a’immah Salaf as-Soleh kemudiannya. Manhaj inilah menjadikan para sahabat golongan yang terpuji, paling sempurna dan terbaik.

Imam Al-Barbahari rahimahullah berkata (Nama Penuh beliau ialah: Al-Barbahari al-Hasan bin Ali bin Khalaf. Wafat pada 329H):

لاَ تَتِمُّ السَّلاَمَة لِعَبْدٍ حَتَّى يَكُوْنَ مُتَّبِعًا وَمُصَدِّقًا وَمُسْلِمًا ، فَمَنْ زَعَمَ اَنَّهُ بَقِيَ شَيْء مِنْ اَمْرِ الاِسْلاَمِ لَمْ يُذَكِّرْنَاهُ اَصْحَاب رَسُوْل اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَدْ كَذَّبَهُمْ

“Tidak akan selamat seseorang hamba sehinggalah dia berittiba’ kemudian percaya dan (menjadi) seorang muslim. Sesiapa yang menyangka bahawa sesungguhnya masih terbaki sesuatu dari urusan Islam yang tidak dijelaskan kepada kita oleh para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam maka ia telah membohongi mereka”. (Lihat: المنهج الأحْمد 2/27-28)

Berittiba’ kepada Salaf as-Soleh adalah jalan yang boleh memudahkan seseorang untuk memahami Islam dengan sempurna. Ahli ilmu bersepakat bahawa asas segala kefaqihan dalam hukum ahkam, segala yang berkait dengan akidah, penyelesaian seluruh perkara (permasalahan agama) semuanya diambil dari pemahaman manhaj al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah yang dikenali sekarang sebagai manhaj Salaf. Semuanya ini menjadi kenyataan berpunca dari berittiba’ (mentaati) firman Allah Azza wa-Jalla yang memerintahkan (Lihat: الدعوة السلفية Hlm. 17. al-Abbasi):

اِتَّبِعُوْا مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوْا مِنْ دُوْنِهِ اَوْلِيَاءِ

“Ikutlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya”. (al-A’raf. 7:3)

Segala perintah dan larangan wahyu telah diimplementasikan oleh para Salaf. Oleh itu mereka terpilih sebagai umat terbaik untuk dicontohi sebagaimana difirmankan oleh Allah Ta’ala:

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَاْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan menegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah". (Ali-Imran, 3: 110)

Maksud "Kamu adalah umat yang terbaik" ialah para salaf terutamanya para sahabat kerana mereka dijamin oleh al-Quran sebagai ummah yang sentiasa berpegang kepada manhaj al-Quran dan dijamin oleh Rasulullah kerana bersahabat dengan baginda. Mereka paling tahu dan mengerti tentang perkataan (sabda), perbuatan (amalan) taqrir (persetujuan) dan kehendak Rasulullah, sama ada yang wajib dilakukan atau yang wajib ditinggalkan, sama ada dari jenis ucapan atau amalan, yang zahir atau yang batin. Dan baginda bersabda:

لاَ تَزَالُوْنَ بِخَيْرٍ مَا دَامَ فِيْكُمْ مَنْ رَآنِيْ وَاصَاحَبَنِيْ ، واللهِ لاَ تَزَالُوْنَ بِخَيْرٍ مَا دَامَ فِيْكُمْ مَنْ رَآنِيْ ، مَنْ رَآنِيْ وَصَاحَبَنِيْ

“Kamu akan sentiasa dalam kebaikan selama di kalangan kamu ada orang yang pernah melihat aku dan bersahabat denganku. Demi Allah kamu sentiasa dalam kebaikan selama di kalangan kamu ada orang yang melihat orang yang pernah melihat aku dan bersahabat dengan-ku. (H/R Ibnu Abi Syaibah dengan sanadnya yang hasan. Lihat: Fathul Bari. 7/5. Ibnu Hajar al-Asqalani)

Sekali lagi dijelaskan bahawa menurut hadis-hadis sahih, salaf yang paling mulia setelah para sahabat ialah para tabi’in, para tabi’ut at-tabi’in dan kemudian barulah orang-orang yang mengikut (berittiba’) dan berpegang kepada athar-athar mereka. Buktinya ialah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

اَنّا وَمَنْ مَعِيْ ، ثُمَّ الَّذِيْنَ عَلَى اْلاَثَرِ، ثُمَّ الَّذِيْنَ عَلَى اْلاَثَرِ

“Aku dan orang-orang yang bersamaku, kemudian orang-orang yang berdiri di atas athar, kemudian orang-orang yang berdiri di atas athar”. (H/R Imam Ahmad 2/297. Abu Nu’aim dalam al-Hilyah 2/78)

Seterusnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

عَنِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ

"Dari Ibnu Masoud radiallahu ‘anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut at-tabi’in)". (Mutaffaqun ‘alaihi. Bukhari No 2652. Muslim No 2533 (211))

Menurut Ibnu Hajar rahimahullah: Perkataan salaf adalah orang-orang dari kalangan para sahabat serta orang-orang yang mengikuti mereka iaitu tabi’in. (Lihat: Fathul Bari, 6/51) Dan para sahabat digelar sebagai sebaik-baik generasi kerana lahir dikurun mufadhalah (مُفَضَّلَةٌ) “Kurun Terbaik”.

Maka dengan penjelasan yang dipadatkan dengan hujjah ini, nyatalah bahawa sesiapa yang meragui manhaj Salaf as-Soleh, dia telah meragui manhaj rabbani. Sesiapa yang menentang manhaj Salaf maka dia telah menentang manhaj Rasullullah dan dia telah mengikut manhajnya orang-orang yang tidak beriman, sedangkan orang-orang yang paling beriman adalah para sahabat, tabi’in dan para tabi’ut at-tabi’in yang telah menyeru agar kita mengikuti manhajnya. Allah telah mengancam orang-orang yang menentang manhaj yang menjadi manhajnya Rasulullah kerana ia juga adalah menjadi manhaj atau jalannya orang-orang beriman سبيل المؤمنين. Allah berfirman:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَ تْ مَصِيْرًا

“Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan (manhaj) yang bukan jalan (manhaj) orang-orang beriman, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam. Dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali”. (An-Nisaa’, 4: 115)

Ayat ini dengan jelas menekankan bahawa orang-orang yang mengikut jalan yang bukan jalannya orang-orang beriman, maka dia dianggap sebagai menentang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

Menurut Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah apabila menjelaskan tentang salaf:

“Apabila kami menyebut lafaz salaf maka yang dimaksudkan ialah para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, kemudian para tabi’in (generasi kedua) dan kemudian para tabi’ut at-tabi’in. Orang-orang yang hidup pada tiga generasi itulah yang digelar sebagai salaf”. (Lihat: al-Hawi, 2/266)

PENDAPAT YANG PALING RAJIH (BENAR)

Namun yang paling rajih (benar), salafi adalah sesiapa sahaja yang berittiba’ kepada manhaj Salaf as-Soleh disepanjang hayat mereka. Maka penentuan siapa salafi adalah ittiba’nya kepada para Salaf as-Soleh. Atau dapat diertikan bahawa salafi adalah sesiapa sahaja yang taat kepada Allah Azza wa-Jalla dengan cara berpegang teguh kepada manhaj salaf. Dengan prinsip ini barulah mereka digolongkan sebagai sebaik-baik ummah.

Salafi merupakan ummah terbaik dari seluruh umat yang ada di dunia. Mereka adalah orang-orang yang paling selamat kerana menasabkan keseluruhan tata-cara agama mereka kepada manusia yang maksum iaitu Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Mereka paling benar kerana menyandarkan akidah, perbuatan, akhlak dan diri mereka kepada generasi yang paling utama sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis sahih, athar dan pengakuan para ulama muktabar yang keseluruhannya adalah sahih nilainya.

Ibnu Qaiyim rahimahullah berkata:

“Adapun cara terbaik mengambil dalil dari makna-makna al-Quran ialah melalui perawi yang terpercaya, yang langsung diambil dari Rasululullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, yang mana mereka sebagai pewaris para nabi. Kemudian diikuti dengan berittiba’ dengan apa yang dikatakan tentangnya oleh para sahabat dan (beritiba’) kepada tabi’un yang menjadi para ketua penunjuk jalan”. (Lihat: مختصر الصواعق المرسلة 2/335. Ibnu Qaiyim)

SEBUTAN SALAF DAN MANHAJ SALAF

Kalimah salaf berkali-kali disebut oleh para ulama muktabar sehingga tidak dapat dihitung dengan angka yang tepat lantaran terlalu sering dan banyaknya disebut. Berittiba’ kepada Salaf as-Soleh adalah syiar Ahli Sunnah wal-Jamaah dan sewajarnya mereka yang berittiba’ sentiasa bersabar menempuh ujian dan cemuhan kerana mereka sedang mengikuti atau berjalan di atas manhaj yang hak dan benar:

كَانَ مِنْ شِعَارِ اَهْلِ السُّنَّةِ اتِّبَاعُهُمْ السَّلَفَ الصَالِح ، وَتَرْكُهُمْ كُلَّ مَا هُوَ مُبْتَدِعٌ وَمُحْدَثٌ

“Antara syiar Ahli Sunnah ialah mereka berittiba’ kepada Salaf as-Soleh, mereka meninggalkan apa saja yang dianggap bid’ah dan yang direkacipta (ciptaan yang baru dalam persoalan yang berkaitan dengan agama)”. (Lihat: الْحُجَّةُ فِى بَيَانِ الْمَحَجَّة 1/364. al-Asbahani)

Ini bermakna bahawa ciri-ciri Salafi ialah meninggalkan bid’ah dan mempertahankan sunnah. Tabah dalam mengikuti sunnah dan memeliharanya pada semua hal dan keadaan serta sentiasa komitmen berjalan mengikut manhaj Salaf as-Soleh.

Berkata Imam Al-Auza’i rahimahullah:

اِصْبِرْ نَفْسَكَ عَلَى السُّنَّةِ ، وَقِفْ حَيْثُ وَقَفَ الْقَوْمِ ، وَقُلْ بِمَا قَالُوْا ، وَكُفَّ عَمَّا كَفُّوْا عَنْهُ ، وَاسْلُكْ سَبِيْلَ سَلَفَكَ الصَّالِحِ ، فَاِنَّهُ يَسَعُكَ مَا وَسِعَهُمْ

“Sabarkanlah jiwamu dalam mengikuti sunnah, berhentilah (dari melakukan sesuatu perbuatan) sebagaimana para Salaf berhenti (dari melakukannya). Berkatalah sesuai sebagaimana mereka katakan, berhentilah dari sesuatu yang mereka telah menghentikannya. Berjalanlah mengikut jalan (manhaj) salaf kamu yang soleh kerana sesungguhnya ia akan memberi kelapangan kepada kamu sebagaimana telah memberi kelapangan kepada mereka”. (Riwayat Al-Lalikaii, Baihaqi dan al-Ajurri dengan sanad sahih. Lihat: Al-Qutubiyah. Hlm. 2-3. Abu Ibrahim bin Sultan al-Adnani. Lihat: Ilmu Usul al-bid’. Hlm. 137. Ali Hasan Abdul Hamid al-Athari)

Penjelasan di atas menguatkan keyakinan bahawa salaf atau salafiyah ialah: Jika dikaitkan dengan waktu, zaman atau marhalah tarikh ia telah berlalu dengan kewafatan mereka. Tetapi jika dinasabkan kepada ilmu yang mereka tinggalkan, fahaman, sikap atau kepada ikutan (berittiba’) kepada manhaj mereka yang hak maka manhaj mereka akan berterusan sehingga ke Hari Kiamat.

Hakikat dan kenyataan ini dapat difahami dari hadis-hadis yang lalu dan hadis-hadis yang seterusnya sebagaimana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjelaskan:

لاَتَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ اُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ عَلَى الْحَقِّ ، لاَيَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَاْتِيَ اَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَالِكَ

“Akan sentiasa ada satu golongan (kelompok) dari umatku yang muncul terang-terangan di atas kebenaran, tidak membahayakan orang-orang yang bermusuhan kepada mereka sehingga tiba urusan Allah dan mereka dalam keadaan demikian”. (H/R Bukhari, 6/632. Muslim, 3/1523)

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ اُمَّتِيْ مَنْصُوْرِيْنَ عَلَى الْحَقِّ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ وَلاَ مَنْ حَذَلَهُمْ

“Akan terus ada sekelompok dari umatku mendapat pertolongan atas yang hak. Tidak akan membahayakan mereka siapa sahaja yang menentang mereka dan merendahkan mereka”.

Di hadis yang lain Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam menegaskan bahawa akan ada sehingga Hari Kiamat orang-orang (orang-orang yang berpegang dengan manhaj salaf) yang menegakkan kebenaran (الحق), mempertahankan kebenaran dan berdiri (iltizam) di atas kebenaran walaupun dihina, dicela, dikeji dan ditimpakan dengan berbagai-bagai fitnah sebagaimana sabda baginda:

عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : لاَ يَزَالُ مِنْ اُمَّتِيْ اُمَّةٌ قَائِمَةٌ بِاَمْرِ اللهِ ، لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ حَذَلَهُمْ ، وَلاَ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَاْتِيَ اَمْرُ اللهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ

“Dari Muawiyah radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Akan sentiasa ada dari umatku ummah yang berdiri tegak di atas perintah Allah, tidak menjejaskan mereka orang-orang yang menghinakan mereka, juga orang yang menentang mereka sehingga tiba urusan Allah dan mereka tetap dalam keadaan demikian (tidak berubah)”. (Dikeluarkan oleh Syaikhain, Bukhari dan Muslim)

Berkata Imam Bukhari rahimahullah:

“Mereka (yang dimaksudkan dalam hadis ini) ialah Ahli Hadis”.

Ini dikuatkan lagi oleh Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah yang menjelaskan:

“Jika yang dimaksudkan (oleh hadis di atas) bukan Ahli Hadis maka aku tidak tahu siapa lagi mereka”.

Hadis-hadis di atas ini menggambarkan daya tahan para salaf mempertahankan kebenaran, prinsip, keunggulan iman, ilmu dan keutamaan manhaj mereka walaupun manusia dalam keadaan fasad, kerosakan, dipenuhi bid’ah, khurafat, syirik dan menentang mereka yang mempertahan dan memperjuangkan manhaj Salaf as-Soleh. Semuanya ini telah digambarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam hadis ghuraba’ (asing). Baginda bersabda:

عَنِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : بَدَاَ اْلاِسْلاَمُ غَرِيْبًا ، وَسَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَا ، فَطُوْبَىللْغُرَبَاء ، قِيْلَ : مَنْ هُمْ يَارَسُوْلَ اللهِ ؟ قَالَ : اَلَّذِيْنَ يَصْلُحُوْنَ اِذَا فَسَدَ النَّاسُ . وَفَى لَفْظٍ آخَرَ : اَلنُّزَّاعُ مِنَ الْقَبَائِلِ . وَفَى لَفْظٍ آخَرُ : اُنَاسٌ صَالِحُوْنَ قَلِيْلٌ فِى اُنَاسٍ سُوْءٍ كَثِيْرٍ ، مَنْ يَعْصِيْهِمْ اَكْثَرُ مِمَّنْ يُطِيْعُهُمْ

“Dari Ibnu Masoud radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Islam itu bermula dengan aneh, akan berulang dalam keadaan aneh sebagaimana ia bermula. Maka berjayalah orang-orang yang aneh. Baginda ditanya, siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Orang-orang yang membetulkan manusia apabila manusia telah fasad (rosak). (Hadis Sahih. Lihat dalam: اربعى الدعوة والدعاة No. 10)

Dilafaz yang lain:

“Orang-orang yang memperbaiki pertelingkahan golongan yang bertelagah. (H/R Al-Ajuri dalam Al-Ghuraba’. No. 2. Al-Baghawi dalam Syarah as-Sunnah No. 64. Ibn Majah 3988. Darimi 2/220)

Dilafaz yang lain:

“Manusia-manusia yang soleh yang sedikit, di tengah-tengah manusia-manusia yang keji yang banyak. Orang-orang yang bermaksiat (menentang) lebih banyak dari yang mentaati mereka”. (H/R Ahmad. 2/177 dan 222. Ibnu Mubarak 775. Al-Ajuri dalam Al-Ghuraba’. No. 6. Dari Abdullah bin Amru bin al-‘As)

BAGAIMANA AGAMA TERPELIHARA

Agama Islam dan kesuciannya, keimanan dan keutuhannya, pelaksanaan dan segala ilmu-ilmu syara hanya mampu dijaga, dipelihara dan dipertahankan oleh golongan Ahli sunnah Wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh. Kenyataan ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ ، مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُوْلُهُ ، يَنْفُوْنَ عَنْهُ تَحْرِيْفَ الْغَالِيْنَ ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِيْنَ ، وَتَأْوِيْلَ الْجَاهِلِيْنَ

“(Dihari-hari kemudian) akan sentiasa dipelihara ilmu ini (agama Islam) oleh orang-orang yang adil. Mereka memeliharanya dari dirosakkan oleh orang-orang yang ghalu/ghulu (melampau terhadap agama/ahli bid’ah), memeliharanya dari pembohongan ahli-ahli batil dan memeliharanya dari pentakwilan orang-orang jahil”. (Hadis Hasan. Lihat: Al-Hittah Fi Zikri Shiti as-Sittah. Siddiq Hasan Khan. H/R. Al-Baihaqi dalam As-Sunnan al-Kubra 10/209. Diriwayatkan oleh al-Khatib dalam شرف اصحاب الحديث Hlm. 11, 28 dan 29. Ibn Wadhah dalam البدع والنهي عنها hlm. 1-2. Ibn ‘Adi dalam Al-Kamal. 1/152-153)

SIAPA SALAFI?

Setelah kita menyedari bahawa Allah Ta’ala dan NabiNya Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah mengkhabarkan, malah menetapkan bahawa para salaf terutamanya mereka yang terdiri dari para sahabat, tabi’in dan para tabi’i at-tabi’in adalah merupakan umat yang termulia kerana mereka semua berada dikurun yang terbaik. Maka sewajarnya kita semua kembali kepada manhaj mereka (manhaj salaf) yang selamat lagi terjamin. Kerana hanya layak dikatakan seseorang itu salafi setelah ia faham dan berittiba’ atau berada di atas manhaj (mazhab) Salaf as-Soleh.

Al-Hafiz Az-Zahabi rahimahullah berkata: Abu Bakar Abdurrahman as-Sarkhasi meriwayatkan dari Abil Fityan ar-Rawasi bahawa:

“As-Salafi adalah orang-orang yang berada di atas mazhab (manhaj) salaf”. (Lihat: Syi’ar A’lam Nubala. 6/21)

As-San’ani rahimahullah berkata:

“Salafi adalah penyandaran (penisbatan) kepada salaf dan menganut manhaj (mazhab) mereka”. (Lihat: Al-Ansab 3/273)

Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah apabila ditanya siapakah hakikat Salafiyah? Beliau menjawab:

“Apabila kamu membincangkan lafaz salaf maka yang kami maksudkan ialah para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, kemudian para tabi’in dan kemudian para tabi’ut at-tabi’in. Dan orang yang hidup pada tiga generasi itulah yang disebut sebagai salaf”. (Lihat: Al-Hawi, 2/226)

Dengan ini dikatakan salafi sesiapa sahaja yang mengikut manhaj Salaf as-Soleh, atau dia dinamakan salafi (سلفي) jamaknya Salafiyun (سلفيون) atau Salafiyin (سلفين) berdasarkan manhaj yang diikutinya. Namun laqab (gelaran) ini bukanlah seruan untuk ta’sub (fanatik) kepada individu-individu tertentu dari kalangan mereka kecuali hanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. (Lihat: Fatawa. 3/346. Ibnu Taimiyah)

Manhaj salaf adalah manhaj orang-orang Salafi yang berpegang kepada al-Kitab dan as-Sunnah serta meninggalkan bid’ah. Setiap salafi yang benar-benar faham dan kenal akan manhajnya, dia tidak akan terpengaruh dengan bid’ah, aktiviti bid’ah dan ahli bid’ah walaupun ahli bid’ah tersebut kelihatan hebat, berkarisma, gayanya seperti ulama yang memiliki berbagai-bagai ilmu dan berlagak seperti seorang tokoh.

Sebenarnya Allah membiarkan para ahli bid’ah sesat berdasarkan bid’ahnya yang mereka balut dengan nama agama, ilmu dan karisma berpidato. Allah berfirman tentang penipuan mereka:

وَاَضَلَّهُ اللهُ عَلَى عِلْمٍ

“Dan Allah membiarkan dia sesat atas ilmu-Nya”. (al-Jasiyah. 23)

“Maksud dia sesat berdasarkan ilmuNya iaitu: Ilmu (bid’ah) yang telah disesatkan oleh Allah”. (Lihat: اضواء على كتب السلف فى العقيدة Dr. Rabin bin Hadi Umair al-Madkhali)

Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berwasiat kepada umatnya agar berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah agar tidak sesat, tidak syirik atau tidak berlaku bid’ah. Baginda bersabda:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ

“Aku tinggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang sama sekali tidak akan sesat (selepas bepegang) kepadanya iaitu: Kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku (al-Hadis yang sahih)”. (Lihat: Hadis disahihkan oleh al-Albani dalam Al-Jami’)

Dalam hadis yang lain Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwasiat agar (berittiba’) mengikuti manhaj salaf. Baginda melarang bertaqlid buta dengan manhajnya ahli bid’ah. Semasa berwasiat, kesungguhan tergambar di wajah baginda sehingga merubah suasana, menggegarkan hati dan mengalirkan air mata para sahabat. Ini menunjukkan peri-pentingnya kembali kepada sunnah yang menjadi dasar manhaj salaf yang diwasiatkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ ، وَاِنْ وَلَّى عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ ، وَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ مِنْ بَعْدِيْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِى ، وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ ، تَمَسَّكُوْا بِهَا ، وَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ، (وَفَى رِوَايَةٍ : وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِى النَّارِ)

"Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan kepada kami sehingga membuat hati kami bergetar dan air mata berlinangan. Kami berkata: Wahai Rasulullah, seakan-akan ini wasiat perpisahan maka berwasiatlah kepada kami! Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepada kamu agar tetap bertakwa kepada Allah, sentiasa mendengar dan taat walaupun yang memimpin adalah seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup antara kamu selepasku akan melihat ikhtilaf yang banyak maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah ia dan gigitlah dengan gigi geraham. Aku peringatkan kamu tentang benda-benda yang baru kerana setiap yang baru itu bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat. (Dan dalam riwayat: Setiap yang sesat di neraka". (H/R Ahmad 4/126-127. Abu Daud 5/13. Turmizi dalam syarah Tuhfatul Ahwazi 7/438. Ibn Majah 1/15 dalam Muqadimah. Al-Hakim dalam Kitabul Ilmi 1/95-97. Disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah 2/647)

Antara contoh seorang ulama salafi yang terbilang ialah penamaan (jolokan) yang diberikan oleh al-Hafiz az-Zahabi rahimahullah terhadap Imam Daruqutni rahimahullah. Beliau berkata:

“Orang ini (Daruqutni) tidak pernah melibatkan dari dalam ilmu kalam dan perdebatan selama-lamanya, tidak pernah mendalaminya walaupun dia seorang Salafi”. (Syi’ar A’lam Nubala 16/457)

APA ITU SALAFIYAH?

Pengertian salafiyah ialah: Manhaj (metodologi), mazhab atau jalan iaitu: “Manhaj yang diikuti atau dipegang oleh orang-orang salaf”. Atau “Metodologi pemahaman Salaf as-Soleh terhadap al-Quran dan as-Sunnah”. (Lihat: Majalah as-Solah. No. 9. Hlm. 86. Penjelasan al-Albani) Sama ada di segi akidah (keimanan), ibadah, fikah (pemahaman), tarbiyah (pendidikan), tasfiyah (pembersihan akidah dari kesyirikan dan ibadah dari bid’ah), akhlak, muamalah, siyasah (politik), hukum-ahkam dan sebagainya.

Salafiyah bukan hizbiyah (kelompok atau golongan yang menyimpang dari dasar al-Quran, as-Sunnah, athar dan ijmak ulama muktabar). Salafiyah adalah golongan yang mengharamkan orang-orang dari berpecah-belah. Hizbiyah pula adalah golongan yang diancam keras oleh Allah kerana mereka penyebab perpecahan dan fitnah. Allah Azza wa-Jalla berfirman:

كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُوْنَ

“Tiap-tiap hizib (golongan) merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka”. (ar-Rum, 30: 32)

Tambahan pula Islam hanya mengizinkan satu hizbiyah iaitu hizib yang berdasarkan kepada berbagai penamaan jamaah yang dinamakan oleh Rasulullah di dalam hadis-hadis baginda. Ia dikenal dengan nama As-Sawadul A’zam, Al-Guraba, Ahli Ittiba’, Firqatun-Najiyah atau At-Taifah Al-Mansurah. Penisbatan seseorang kepada nama-nama ini sama seperti penisbatan kepada Salaf as-Soleh. Kesemua nama-nama ini penentuannya datang dari Rasulullah yang bermakna satu hizbiyah tetapi berlainan nama kerana tidak ada berbilang hizbiyah di dalam Islam berdasarkan firman Allah:

اَلاَ اِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

“Ketahuilah! bahawa sesungguhnya hizib (golongan) Allah itulah golongan yang beruntung”. (al-Mujadalah, 58: 22)

Penisbatan kepada selain Salaf as-Soleh hanya ada dua kemungkinan iaitu nisbah kepada peribadi yang tidak maksum atau nisbah kepada kumpulan (firqah) yang membawa kepada salah satu daripada 72 firqah perpecahan. Ia digambarkan oleh hadis-hadis sahih bahawa kesemua firqah perpecahan tersebut akan ke neraka. Baginda bersabda:

وَالَّذِيْ نَفْسِ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ ، لَتَفْتَرِقَنَّ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ قِيْلَ : مَنْ هُمْ ؟ قَالَ : اَلْجَمَاعَةُ

“Demi diri Muhammad yang berada di tanganNya, pasti akan berpecah umatku kepada 73 firqah hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka! Baginda ditanya: Siapa mereka? Baginda bersabda: Al-Jamaah”. (H/R Ibn Majah 2/1322. Disahihkan oleh al-Haitami dalam Az-Zawaid. Disahihkan juga oleh al-Iraqi dalam Talkhis al-Ihya)

Al-Jamaah yang dimaksudkan oleh hadis ini adalah para Salaf as-Soleh dan mereka-mereka yang kembali mengikut manhaj para Salaf. Inilah maksud dan hakikat yang termuat di dalam sabda baginda:

مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ

“Bermaksud: Yang (mengikut manhaj) aku dan para sahabatku (Atau sesiapa yang seperti aku dan para sahabatku)”. (Lihat: Tuhfatul Ahwazi. 7/399-340. Berkata Tirmizi: Hadis hasan dan gharib)

Kitab Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah memberi peringatan agar menjauhi manhaj golongan orang-orang yang syirik, kufur, sesat, bid’ah, yang terdedah dengan syubhat, fasad dan kefasikan. Mereka itu adalah orang-orang yang telah terkeluar dari manhaj Salaf as-Soleh kerana melewati batas. Allah berfirman:

وَلاَ تُطِعْ مَنْ اَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ اَمْرُهُ فَرُطًا

“Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas”. (al-Kahfi. 18: 28)

LAQAB (GELARAN/PENISBAHAN) SALAF DIMULAI DARI KALANGAN SAHABAT

Menurut penjelasan dari hadis-hadis yang lalu, bahawa laqab (penamaan atau gelaran) Salaf as-Soleh ia dimulai dari para sahabat, kemudian barulah dilaqabkan kepada para tabi’in, para tabi’ut at-tabi’in dan seterusnya setiap muslim yang berittiba’ kepada mereka.

Oleh yang demikian sesiapa yang menyerupai dan berada di dalam manhaj para sahabat maka dia adalah tergolong sebagai salafi tanpa khilaf. Atau Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh.

Yang lebih jelas dan ketara, as-Salafiyah ialah dinasabkan kepada as-Salaf. Iaitu penasaban yang sama sekali tidak akan pernah terputus walau seketika dari umat Islam, sejak terbentuknya manhaj Nabawiyah maka ia berterusan dan dikembangkan oleh Rasulullah sehinggalah meliputi keseluruhan kaum muslimin yang mengikut generasi pertama, termasuklah sesiapa yang mencontohi mereka dalam bertalaqi (berguru) untuk memperolehi ilmu menuju jalan memahaminya, melaksanakan dakwah kepadanya, malah wajib memahami bahawa mengikuti jalannya adalah sewajarnya berterusan sepanjang hayat. (Lihat: حكم الانتماء hlm. 31)

Cara untuk berterusan di atas manhaj Salaf ialah dengan memberi perhatian kepada athar-athar Salaf yang dipelihara oleh para a’immah (para imam-imam besar dan ulama Salaf as-Soleh) yang masyhur, sama ada kalangan ulama hadis, akidah atau tafsir, seperti athar Khalifa ar-Rasyidin, Ibn Abbas, Ibn Masoud, Abu Hurairah, Abu Musa al-Asy’ari, Aisyah, Ibnu Umar dan selain mereka dari kalangan para sahabat. Kemudian selepas mereka seperti Abul ‘Aliyah, Ibnu Sirin, Ibnu Musaiyib, ‘Ata, Mujahid, Al-Hasan al-Basri, Umar bin Abdulaziz, al-Auzaii dan selain mereka seperti Imam syafie, Maliki, Hanafi, Hambali, Ibn Taimiyah, Ibn Qaiyim, Muhammad bin Abdul Wahab dan yang lain-lain-lainnya. Mereka semuanya itu, amat menentang manhaj Ahli Ahwa dan Ahli Bid’ah.

MANHAJ SALAF

Para salafi (salafiyun) adalah orang yang mengikut manhaj salaf (salafiyah) sebagimana yang telah dijelaskan. Manhaj salaf hanyalah berpandukan kepada al-Quran, al-Hadis (as-Sunnah), athar dan mengikut kesepakatan (ijmak) para ulama muktabar. Iaitu mengikut cara memahami perkara-perkara tersebut menurut sebagaimana pemahaman para sahabat dan mereka-mereka yang berpegang dengan manhaj para sahabat hinggalah ke Hari Kiamat. Ciri mereka yang jelas ialah mereka sentiasa mentaati Allah dan RasulNya dalam berittiba' kepada wahyu sebagaimana firman Allah:

وَاتَّبِعُوْا اَحْسَنَ مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَّبِّكُمْ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَاَنْتُمْ لاَتَشْعُرُوْنَ

"Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya". (az-Zumar, 39: 55)

Maksud (اَحْسَنَ مَا اُنْزِلَ): “Sebaik-baik apa yang telah diturunkan” ialah “al-Quran”. Al-Quran hanya dipenuhi oleh perkara-perkara yang terbaik. (Lihat: Tafsir al-Qurtubi,15/270. Tafsir at-Thabari, 13/23) Wajib mengikut manhaj para sahabat lantaran mereka “mengikut sebaik-baik apa yang telah diturunkan” kepada mereka dan mereka adalah sebenar-benar Salaf as-Soleh, manusia yang paling baik, mulia dan sempurna kerana berittiba’ kepada al-Quran sebagaimana yang juga telah dijelaskan di surah Ali Imran 3:110.

Banyak dalil dan fatwa para ulama muktabar mewajibkan agar bermanhaj salaf kerana ia landasan (صراط) yang dilalui oleh para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in. Firman Allah:

وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ

"Bahawasanya ini adalah jalanKu yang lurus maka ikutilah dia, jangan kamu mengikuti jalan-jalan kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa". (al-An’am, 6:153)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggariskan untuk menggambarkan dan memperjelas maksud firman Allah di atas:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ قَالَ: خَطَّ لَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا خَطًّا ثُمَّ قَالَ : هَذَا سَبِيْلُ اللهِ ، وَخَطَّ خُطُوْطًا عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ : هَذِهِ سُبُلٌ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُوْا اِلَيْهِ ، ثُمَّ تَلاَ : وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ

"Pada suatu ketika Rasulullah menggariskan kepada kami suatu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah, kemudian menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya lalu bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut. Kemudian membacakan ayat: Sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus maka ikutilah jalan tersebut dan janganlah ikuti jalan-jalan kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepadamu agar kamu bertakwa". (H/R Ahmad "Musnad" 1/ 435. Al-Hakim "al-Mustadrak" 2/318. Ibn Abi 'Asim (17) As-Sunnah" Hlm. 13)

Berkata Mujahid rahimahullah: Subul سبل “Jalan-Jalan” bermaksud: “Bid’ah-bid’ah dan Syubhat-syubahat”. (Lihat: السنن والمبتدعات Hlm. 5. Muhammad Abdussalam)

Para Salaf as-Soleh meyakini bahawa:

لَيْسَ لَهُمْ مَتْبُوْعٌ يَتَعَصَّبُوْنَ لَهُ اِلاَّ رَسُوْل اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Tidak ada bagi mereka ikutan (ittiba’) yang diikuti dengan sungguh-sungguh kecuali (berittiba’) kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam”. (Lihat: Majmu’ al-Fatawa. 3/347. Ibnu Taimiyah)

Segala hujjah dan definisi di atas ini menjelaskan bahawa tidak boleh ta’sub, taqlid dan berittiba’ (taat, ikut, patuh dan berpegang kuat) kecuali kepada wahyu yang telah disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

MANHAJ RABBANI

Manhaj Salaf as-Soleh adalah manhaj Rabbani. Ini amat jelas kerana para Salaf as-Soleh sentiasa merujuk dan berpegang kepada al-Quran dan hadis-hadis sahih yang berupa wahyu dari Rabb pencipta sekalian alam. Antara bukti yang jelas ialah para Salaf as-Soleh apabila berikhtilaf atau berselisih agar tidak berpecah-belah maka mereka segera kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Amalan ini memenuhi tuntutan al-Quran sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam firman-Nya:

وَمَاخْتَلَفْتُمْ فِيْهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ اِلَى اللهِ

“Tentang sesuatu apapun kamu berselisih maka putusannya (terserah) kepada Allah”. (Asy-Syura, 42:10)

Setiap orang beriman yang sedar dan berilmu, ia akan sentiasa meminta kepada Allah Ta’ala agar menjadi golongan salafi. Ini dilakukan juga secara tidak langsung setiap kali bersolat kerana setiap insan yang bersolat sentiasa berdoa (meminta) agar ditunjukki jalan yang hak, atau صراط المستقيم “jalan yang lurus” iaitu jalan, mazhab atau lebih dikenali sebagai manhaj Salaf as-Soleh sebagaimana firman Allah:

اِهْدِنَاالصِّرَاطَ الْمُسْتَقَيْمَ صِرَاطَ الَّذِيْنَ اَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

“Tunjukkilah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka”. (al-Fatihah, 1:6-7)

Maksud: “Jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat” ialah jalan (manhaj) para syuhada, siddiqin dan solehin yang terhindar dari jalan-jalan yang disesatkan oleh syaitan. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

خَطَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا مُسْتَقِيْمًا ، وَخَطَّ خُطُوْطًا عَنِ الْيَمِيْنِ وَعَنِ الشِّمَالِ ثُمَّ تَلاَ قَوْلَ اللهِ (وَاَنَّ هَذَا صَرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا) ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ عَلَى الْخَطِّ اْلأَوْسَطِ الْمُسْتَقِيْمِ وَقَالَ : هَذَا سَبِيْلِ اللهِ ، وَهَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيْلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُوْ اِلَيْهِ

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menggaris garisan lurus dengan tangannya lalu menggaris garis-garis di sebelah kanan dan kiri kemudian membaca ayat: (Inilah jalanKu yang lurus) (Al-An’am, 153) kemudian meletakkan tangannya di atas jalan yang lurus dan bersabda: Inilah jalan Allah. Dan yang ini adalah jalan-jalan, tiada satu jalanpun melainkan di atasnya ada syaitan yang menyeru kepadanya”. (H/R Nasaii, Darimi. Al-Albani mengatakan: Sanadnya Hasan)

Sedarkah kita bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam hanya menggariskan satu garisan yang diwajibkan kita mengikutinya. Itulah satu-satunya jalan yang wajib kita titi sehingga tidak boleh menoleh ke kiri atau ke kanan. Titian tersebut dijelaskan oleh para ulama tafsir sebagi jalan, mazhab atau manhaj para sahabat yang menjadi salaf kita sekalian. Ingatlah, pada ayat yang juga merangkumi hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam di atas, terdapat perintah Allah yang memerintahkan agar kita hanya mengikuti satu jalan yang lurus iaitu masuk ke dalam golongan (manhaj) siddiqin kerana para salaf terutamanya para sahabat keseluruhannya adalah golongan orang-orang yang siddiqin! Allah memerintahkan di dalam firman-Nya:

وَكُنُوْا مَعَ الصَادِقِيْنَ

“Dan hendaklah kamu berserta (menjadi) orang-orang yang benar (siddiq)”. (At-Taubah, 9:119)

Yang termasuk dalam golongan syuhada, solehin dan siddiqin ini terutamanya ialah para sahabat yang menjadi salaf kita dalam menempuh jalan yang lurus. Dengan ini menurut Ibn Taimiyah, bermanhaj Salaf adalah wajib kerana telah diwajibkan oleh Allah dan diisyaratkan juga oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam di dalam sabda baginda:

"Yang sepertiku (yang seperti manhaj baginda) dan para sahabatku (manhaj para sahabat baginda)".

Ibn Taimiyah juga menjelaskan:

لاَ عَيْبَ عَلَى مَنْ اَظْهَرَ مَذْهَبَ السَّلَفِ ، وَانْتَسَبَ اِلَيْهِ ، وَاعْتَزَى اِلَيْهِ ، بَلْ يَجِبُ قُبُوْل ذَلِكَ مِنْهُ بِاْلاِتِّفَاقِ ، فَاِنَّ مَذْهَبَ السَّلَفِ لاَيَكُوْنُ اِلاَّحَقًّا

"Tidak akan menjadi aib (kekurangan) bagi seseorang mengakui sebagai bermazhab (bermanhaj) salaf, menasabkan dirinya kepada salaf dan berbangga dengan salaf. Malah wajib menerima mazhab (manhaj) salaf sebagaimana yang telah disepakati. Sesungguhnya mahzab salaf tidak lain hanyalah mazhab yang sebenarnya (manhaj yang hak)". (Lihat: مجموعة الفتاوى Jld. 4. Hlm. 149. Ibn Taimiyah)

Ibnu Hajar al-Qatari rahimahullah pula berkata:

فَالْمُرَادُ بِمَذْهَبِ السَّلَفِ : مَاكَانَ عَلَيْهِ الصَّحَابَةُ الْكِرَامُ رِضْوَانُ اللهِ عَلَيْهِمْ ، وَالتَّابِعُوْنَ لَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ وَاَتْبَاعُهُمْ

"Apa yang dimaksudkan sebagai mazhab (manhaj) salaf ialah sebagaimana yang telah diikuti oleh para sahabat yang mulia, yang mana mereka sekalian telah diredai oleh Allah. Begitu juga para tabi’in yang mengikuti mereka dengan baik yang mengikuti mereka sekalian sehinggalah ke Hari ad-Din". (Lihat: العقائد السلفية Ibnu Hajar al-Qatari)

Mahmud Muhammad Khufaji telah menjelaskan tentang penentuan manhaj Salaf as-Soleh dan siapa dia yang digelar salafi:

وَلَيْسَ هَذَا التَّحْدِيْد الزَّمَنِيْ كَافِيًا فِى ذَلِكَ ، بَلْ لاَبُدَّ اَنْ يُضَافَ اِلَى هَذَا السَّبَق الزَّمَنِي مُوَافَقَة الرَّاْي لِلْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ ، نَصًّا وَروْحًا ، فَمَنْ خَالَفَ رَاْيُهُ الْكِتَابَ وَالسُّنَّة فَلَيْسَ بِسَلَفِى ، وَاِنْ عَاشَ بَيْنَ اَظْهُرِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِيْ التَّابِعِيْنَ

"Bukanlah penentuan zaman sudah memadai dalam perkara ini (menentukan seseorang itu salafi) tetapi di samping penentuan zaman (para sahabat) yang berlalu zamannya maka perlulah ada kesepakatan pandangan mereka dengan al-Kitab dan as-Sunnah jika tidak maka dia tidak boleh dinamakan salafi sekalipun ia hidup di tengah-tengah para sahabat, tabi’in dan tabi’ at-tabi’in". (Lihat: العقيدة الاسلامية بين السلفية والمعتزلة تحليل ونقد Juz. 1/20-21. Mahmud al-Khufaji)

Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah berkata:

“Manhaj Salaf adalah ajaran yang suci dan bersih dari segala kesan tradisi (jahiliyah pent.) masa lalu dan bersih dari peninggalan-peninggalan berbagai-bagai fahaman. Segala kesempurnaan dan kesyumulannya berdasarkan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah”. (Limaza Khartu al-Manhaj as-Salaf. Hlm.34)

PENGGUNAAN KALIMAH SALAF

Terdapat beratus-ratus kitab yang dihasilkan oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dalam berbagai-bagai bidang keilmuan. Di dalam kitab-kitab tersebut didapati amat banyak sebutan menggunakan istilah atau kalimah seperti: Salaf, Salaf as-Soleh, Generasi salaf atau Salaful Ummah. Sama ada di dalam kitab-kitab tafsir, syarah hadis, fikah (termasuk dalam fikah Hanafi, Maliki, Syafie dan hambali), malah paling banyak disebut sehingga beratus-ratus kali di dalam kitab-kitab akidah. Kenyataan ini tidak dapat dinafikan bagi sesiapa yang mampu mengkaji kalimah ini di kitab-kitab turath (kitab-kitab hasil tulisan para ulama terdahulu).

Malah para ulama terdahulu telah menggunakan kalimah salaf atau istilah ini untuk memerangi bid’ah, ahli bid’ah dan para aktivisnya. Ia diungkapkan dalam kata-kata yang masyhur:

وَكُلُّ خَيْرٍ فِى اتِّبَاعِ مَنْ سَلَفَ #

وُكُلُّ شَرٍّ فِى اتِّبَاعِ مَنْ خَلَفَ

“Dan setiap kebaikan adalah dalam mengikuti orang-orang salaf. Dan setiap kekejian adalah dalam bid’ahnya orang-orang khalaf (orang-orang setelah zaman salaf)”.

Imam al-Auza’i rahimahullah secara tegas memerintahkan kepada kita sekalian agar kembali kepada pegangan para Salaf as-Soleh. Beliau berkata:

عَلَيْكَ بِاَثَارِ مَنْ سَلَفَ وَاِنْ رَفَضَكَ النَّاسُ ، وَاِيَّاكَ وَاَرَاءَ الرِّجَالِ وَاِنْ زُخْرُفُوْهَا لَكَ بِاْلاَقْوَالِ

“Hendaklah kamu berpegang dengan athar-athar orang-orang salaf walaupun semua manusia mengusir (menolak) kamu. Dan jauhilah oleh kamu pendapat-pendapat orang walaupun mereka menghiasinya dengan ucapan-ucapan (yang indah)”. (Lihat: ذم التأويل Tahqiq Badr al-Abdr. Hlm. 277. Hadis Sahih, Dikeluarkan oleh al-Khatib dalanm Syarah Ashabul Hadis hlm. 70. Al-Ajurr dalam Syariah 57. Dan Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ul Bayanil Ilm wa-Fadhlihi. 2/114. Lihat: Syarah Lum’atul Iktiqad. Hlm. 42. Syeikh Uthaimin. Tahqiq Asyraf bin Abdul Maqsud)

اِصْبِرْ نَفْسَكَ عَلَى السُّنَّةِ ، وَقِفْ حَيْثُ وَقَفَ الْقَوْمِ ، وَقُلْ بِمَا قَالُوْا ، وَكُفَّ عَمَّا كَفُّوْا عَنْهُ ، وَاسْلُكْ سَبِيْلَ سَلَفِكَ الصَّالِحِ فَاِنَّهُ يَسَعُكَ مَا وَسِعَهُمْ

“Bersabarlah kamu dalam mengikuti sunnah. Berhentilah dari (melakukan suatu perbuatan) sebagaimana kaum (Salaf as-Soleh) berhenti dari melakukannya. Berkatalah sesuai dengan apa yang mereka (para Salaf as-Soleh) katakan. Tahanlah dirimu daripadanya. Berjalanlah di atas jalan Salaf as-Soleh kerana sesungguhnya ia akan memberi kelapangan kepada kamu”. (Dikeluarkan: Al-Lalikaii, Baihaqi dan al-Ajuri dengan sanad sahih)

MENGENALI MANHAJ SALAF

Untuk mengenal manhaj Salaf as-Soleh secara mudah, ia dapat diringkaskan kepada beberapa bahagian:

Pertama: Manhaj Salaf dikenali juga sebagai manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Salafiyah. Manhaj salaf hanya memberi penumpuan kepada al-Quran dan as-Sunnah kerana tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan oleh al-Kitab ini. Firman Allah:

مَا فَرَّطْنَا فِى الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ

“Tidaklah Kami lupa (tertinggal) suatu apapun di dalam al-Kitab (al-Quran)”. (al-An’am, 6: 38)

Manhaj ini berbeza dengan aliran bid’ah seperti Tariqat Sufi, Mu’tazilah, Ahli Kalam, Asy’ariyah dan yang seumpamanya. Salafi dan salafiyah hanya mementingkan al-Quran, as-Sunnah serta athar para sahabat. Golongan bid’ah pula mencampur-adukkan al-Quran dan as-Sunnah melalui pertimbangan akal atau hawa nafsu. Jika terdapat dalil yang bertentangan dengan akal, mereka menolak dalil tersebut untuk mempertahankan akal. Mereka digelar ‘Aklaniyun “Penyembah Atau Pemuja Akal” , Ahlu al-Ahwa “Penyembah Atau Pemuja Hawa Nafsu dan Mubtadi’ “Ahli Bid’ah”.

Kedua: Manhaj Salaf as-Soleh hanya menggunakan istilah-istilah dari syara(اَلشَّرْعِيَّةُ) apabila menjelaskan persoalan akidah dan syariat sama ada untuk menerangkan atau membantah.

Ketiga: Manhaj Salaf tidak menggunakan pentakfiran (menghukum kafir), tabdi’ (menghukum bid’ah), tadhlil (menghukum sesat) dan tafsik (menghukum fasik) menangani persoalan akidah namun memberi ruang luas di segi fikhiyah.

Keempat: Membentangkan persoalan akidah dengan uslub (metode) dan bahasa yang mudah sehingga tidak ada perkara yang tersembunyi.

Kelima: Menyelesaikan setiap persoalan dengan contoh yang sederhana, kalimah yang ringkas dan mudah yang dirujukkan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Keenam: Mematuhi setiap nas al-Quran atau as-Sunnah, tidak keluar dari makna al-Quran melalui Bangsa Arab. Hanya Bangsa Arab yang benar-benar memahami bahasa mereka dan dalil-dalil qat’ie dari al-Quran dan hadis yang semuanya berbahasa Arab tulin. Oleh kerana kefasihan dan tidak terdapat kesalahan mereka berbahasa Arab maka tidak ditemui ilmu nahu, saraf, balagah dan ilmu-ilmu alat dimasa mereka.

Ibn Taimiyah menekankan kepada setiap orang yang beriman agar bermanhaj salaf dan mempertahankan manhaj Salaf. Beliau menjelaskan siapa sebenarnya Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh:

اَنَّ اَهْلَ السُّنَّةِ هُمُ الَّذِيْنَ الْمُتَمَسِّكُوْنَ بِكِتَابِ اللهِ وَسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَمَا اتَّفَقَ عَلَيْهِ السَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُمْ بِاِحْسَانٍ

"Ahli Sunnah ialah mereka yang berpegang dengan kitab Allah dan Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dan apa yang disepakati oleh orang-orang pendahulu yang awal (salaf), terdiri dari kalangan Muhajirin dan Ansar dan juga orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik". (Lihat: مجموعة الفتاوى 3/375. Ibn Taimiyah)

Seterusnya beliau berkata:

فَمَنْ قَالَ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ وَاْلاِجْمَاعِ كَانَ مِنْ اَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ

"Maka sesiapa yang berkata-kata berdasarkan al-Kitab, as-Sunnah serta ijmak, ia adalah tergolong dalam golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah". (Lihat: مجموعة الفتاوى 3/346. Ibn Taimiyah)

Telah berkata Ibnu Abbas sebagaimana yang diucapkan juga oleh Imam Malik dinukil dari Mujahid:

كُلُّ النَّاسِ يُؤْخَذُ مِنْهُ وَيُؤْخَذُ عَلَيْهِ اِلاَّ صَاحِبُ هَذَا الْقُبْرِ

“Setiap manusia boleh diambil perkataannya dan boleh ditolak kecuali penghuni kubur ini (seraya menunjukkan kubur Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam)”. (Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Masail Imam Ahmad hlm. 276. Disebut oleh Taqiyuddin as-Subky dalam Al-Fatawiy 1/148. Ibnu Abdil Baar. Lihat Jami’ul Bayanil Ilmu wa-Fadhlihi. 1/145)

Related Posts by Categories



Widget by Scrapur

0 komentar:

Posting Komentar

Add to Google Reader or HomepageAdd to WebwagSubscribe in RojoAdd to My AOLAdd to netvibesSubscribe in BloglinesAdd to The Free DictionaryAdd to PlusmoSubscribe in NewsAlloyAdd to Excite MIXAdd to netomat HubAdd to fwickiAdd to WebwagAdd to AttensaSubscribe in podnovaAdd to Pageflakes

Design by JUNDULLAH LA MANIA Visit Original Post